Kenyataan Shafee di mahkamah ‘salah’, kata Zaid

0
248

FIRMA guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan mempertikaikan kenyataan dibuat peguam bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika prosiding pada Selasa lalu.

Surat itu menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bahawa beliau melepaskan diri daripada mewakili Najib dalam rayuan SRC International disebabkan rasa tidak puas hati dengan pasukan pembelaan,Datuk Mohd Zaid Ibrahim sebagai salah.

Menurut surat itu, Najib sebenarnya telah melepaskan Shafee daripada mewakilinya, lapor FMT.

“Kami mengetahui perkara ini, kerana apabila diarahkan mengambil alih pengendalian perkara itu, kami dipanjangkan satu salinan surat daripada perayu (Najib kepada Shafee) bertarikh 25 Julai 2022 yang melepaskan Shafee dan firma guamannya dengan beberapa alasan diberikan untuk pelepasan,” menurut surat itu yang ditandatangani bersama oleh peguam Zaid Ibrahim dan Liew Teck Huat.

Bagaimanapun, firma Zaid tidak dapat mendedahkan kandungan surat berkenaan mahupun menyatakan alasan keputusan Najib itu disebabkan perlindungan keistimewaan profesional undang-undang.

“Kami harus menambah bahawa Shafee sedar bahawa beliau telah dilepaskan daripada bertindak bagi pihak (Najib) pada 25 Julai memandangkan firma guaman beliau sendiri telah menulis surat kepada mahkamah pada pagi 26 Julai dengan memberi satu notis rasmi bahawa beliau dan firma guamannya telah dilepskan,” menurut surat itu.

“Fakta bahawa Shafee dengan sengaja menyatakan satu kenyataan tidak benar dalam Mahkamah Terbuka (atas apa jua sebab pun), dengan hormatnya, tidak boleh dibiarkan tanpa pembetulan,” kata Zaid dan Liew dalam surat itu.

Mereka berkata, sebagai pegawai mahkamah, mereka bertanggungjawab menarik perhatian mahkamah terhadap perkara itu.

Selepas pendakwaan selesai berhujah Jumaat lepas, rayuan Najib dijadualkan bersambung pada Selasa.

Bagaimanapun, pada Selasa, peguam bela utama Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan mahkamah bahawa Najib telah memfailkan permohonan supaya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuannya.

Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud kemungkinan berat sebelah ekoran kenyataan suami hakim tersebut di media sosial empat tahun lepas.

Ketika prosiding berlangsung pada Selasa, Shafee hadir dan memaklumkan mahkamah beliau telah dilantik semula oleh Najib untuk menghujahkan permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri.

Mahkamah terus mendengar permohonan itu sebelum menolaknya. Mahkamah kemudian mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 dan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Tengku Maimun turut bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here