Polis kesan wanita tipu pelaburan RM1.2 juta

0
233

SEORANG wanita yang disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan wang tidak wujud dikenali ‘Savingbywaniey’ atau ‘Free Cash’ membabitkan kerugian mencecah RM1.2 juta, kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Baling Superintenden Shamsudin Mamat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima sebanyak 33 laporan polis dari mangsa yang mengalami kerugian selepas terpedaya dengan pelaburan tersebut.

“Setakat ini, 33 laporan polis telah dibuat membabitkan kerugian berjumlah RM1.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian, hari ini.

Shamsudin berkata, pada 24 Ogos lalu, dua wanita telah ditahan berusia 30 tahun termasuk seorang daripadanya sarat mengandung, bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, katanya, dalam kejadian awal Jun lalu, seorang pembantu kedai berusia 30 tahun telah tertarik dengan satu iklan dalam laman sosial Facebook menggunakan nama Eypolwaniey yang mengiklankan tentang Savingbywaniey yang didakwa diwujudkan bagi tujuan pelaburan atau simpanan.

“Mangsa tanpa berfikir panjang bersetuju untuk menyertai pelaburan dengan modal sebanyak RM6,000 yang didakwa dijanjikan akan mendapat pulangan sebanyak RM12,000 dalam tempoh dua bulan iaitu pada 15 Ogos 2022.

Mangsa katanya, telah membuat transaksi secara dalam talian sebanyak RM6,000 ke akaun yang diberikan suspek.

“Mangsa turut bersetuju menambah modal pelaburan sebanyak RM4,000 dan RM2,000 dan mendakwa dijanjikan bakal menerima keuntungan sebanyak RM8,000 pada 25 Ogos dan RM5,000 pada 25 Oktober depan,” katanya.

Mangsa kemudian menambah modal lagi sebanyak RM4,000 pada 9 Ogos dan RM2,000 pada 14 Ogos lalu, ujarnya.

“Bagaimanapun, pada 15 Ogos lalu, wang keuntungan yang dijanjikan tidak diperolehi selain menyedari suspek telah menghilangkan diri,” katanya.

Laporan polis dibuat 19 Ogos lalu dan kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis ingin menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan sindiket berkenaan dan membuat laporan polis jika menjadi mangsa penipuan.

“Pastikan sentiasa membuat semakan dengan pihak berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here