Individu lakukan kerja kampung didenda RM4,000 menyamar Raja Muda Perak

0
323

Oleh RIZQI ZABIDI

MAHKAMAH Majistret 3 Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 terhadap seorang lelaki yang menyamar sebagai Raja Muda Perak, pada Jun lalu.

Tertuduh, Mohammad Fadhil Lope, 39, dijatuhkan hukuman tersebut setelah dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif.

Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, tertuduh turut diarahkan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 28 Jun 2022, kira-kira pukul 11.30 pagi di Pejabat Sultan Kedah, Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang hanya melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber pendapatan didakwa cuba memperdaya seorang petugas di pejabat tersebut supaya dibenarkan berjumpa Sultan Kedah.

Pendakwaan dikendalikan jawatan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Asmaa’ Zamri mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Syafiq Ahmad.

Sebelum ini media melaporkan mengenai penahanan tertuduh setelah laporan polis dibuat oleh petugas pejabat berkenaan.

Ketika hadir ke Pejabat Sultan Kedah bersama dua wanita, tertuduh didakwa memperkenalkan diri dengan menggunakan sekeping kad kuning tertera gelaran dan nama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.

Semakan dilakukan petugas pejabat terbabit dengan Bahagian Protokol dan Istiadat Negeri Perak mendapati tidak wujud kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama, gelaran dan nombor kad pengenalan sebegitu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here