Tiga termasuk pemuda Amanah, PKR terbabit perhimpunan kenaikan harga barang didakwa

0
219

DUA aktivis politik dan seorang presiden kesatuan pelajar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini secara berasingan, atas tuduhan selaku penganjur, gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara, pada bulan lalu.

Mereka yang didakwa adalah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbie Muda, 35, Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Cabang Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya, 33, dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM), Mohamad Aliff Naif Mohd Fizam, 24.

Kesemua mereka membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Wong Chai Sia, S Mageswary dan Aina Azahra Arifin, lapor Astro Awani.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal memberitahu polis Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan berkenaan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Raja Alang dan hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pukul 2 dan 3.30 petang, pada 1, 9 serta 23 Julai lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM10,000.

Mereka diwakili peguam, Faiz Fadzil; Bryan Ng dan Asheeq Ali, sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin; Mohd Radzi Shah dan Muhamad Zuraidi Zulkifli.

Mahkamah memerintahkan Mohd. Hasbie dan presiden kesatuan pelajar itu masing-masing diikat jamin RM3,000, manakala jaminan RM7,000 dikenakan terhadap Muhd Sabda Suluh Lestari tanpa sebarang syarat tambahan.

Sebutan kes Mohd. Hasbie ditetapkan pada 22 September ini, Muhd. Sabda Suluh Lestari (28 September) dan Mohamad Aliff Naif (21 September).

Turut hadir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan timbalannya, Datuk Salahuddin Ayub bagi memberi sokongan kepada Mohd Hasbie, manakala Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil hadir sebagai tanda solidariti bersama Muhammad Sabda Suluh Lestari.

Media sebelum ini melaporkan himpunan itu dipercayai dianjurkan bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here