Kes pencuci kapal kelar isteri, anak disebut semula 19 September ini

0
217

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru menetapkan tarikh sebutan semula bagi kes pencuci kapal yang didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru pada bulan lalu, pada 19 September ini.

Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim menangguhkan kes itu pada tarikh berkenaan selepas dimohon Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki memaklumkan memerlukan masa kira-kira sebulan lagi untuk memperoleh beberapa laporan yang diperlukan.

Sebelum itu, Muhammad Arif memberitahu mahkamah, pihaknya masih belum memperolehi laporan kimia, laporan bedah siasat dan laporan psikiatri tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd. Adam, 24.

“Hari ini ditetapkan untuk status laporan kimia, bedah siasat dan psikiatri, namun laporan-laporan belum diperolehi. Saya mohon tarikh untuk sebutan semula dalam sebulan,” katanya.

Pada prosiding hari ini, tertuduh tidak hadir ke mahkamah, namun dia diwakili peguam Munirah Najihah Shaari yang memberitahu mahkamah bahawa beliau baharu dilantik pihak tertuduh.

Mohamad Amir Nazri tidak hadir ke mahkamah pada hari in yang ditetapkan untuk sebutan semula kesnya kerana masih dirujuk di Hospital Permai bagi rawatan psikiatri.

Ahli keluarga tertuduh dan isterinya hadir mahkamah.

Pada 18 Julai lalu, Mohamad Amir Nazri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef yang berusia dua bulan lapan hari.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di rumah keluarganya dekat Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu pada jam 11.30 pagi dan 11.40 pagi, 4 Julai lalu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan insiden tersebut apabila seorang lelaki bertindak mengelar leher isteri dan anak tunggalnya sebelum melarikan diri.

Turut tular beberapa video dan gambar memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sejurus selepas insiden itu berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here