3 lelaki bergaduh depan restoran nasi kandar didenda RM1,000

0
197

TIGA lelaki masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah terbabit dalam pergaduhan di sebuah restoran nasi kandar di Taman Chai Leng, Perai, Pulau Pinang, pada 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, semalam.

Katanya, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

“Polis sebelum ini menahan seramai 15 lelaki warga tempatan berusia 20-an dan 30-an, namun hanya tiga suspek didakwa di mahkamah, manakala selebihnya dibebaskan kerana tidak terbabit dalam pergaduhan di premis terbabit.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam insiden berkenaan dan masih bebas,” katanya, lapor BH Online.

Pada 10 Ogos lalu, tular empat rakaman video masing-masing berdurasi 23 saat, 22 saat, 17 saat dan lapan saat di laman Facebook (FB) ‘Kongsi Segala Info’ memaparkan kejadian sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Taman Chai Leng di Seberang Perai Tengah.

Hasil siasatan polis mendapati kejadian sebenar dilaporkan berlaku pada jam 3.30 pagi, pada 7 Ogos lalu.

Kumpulan lelaki berkenaan didapati menggunakan beberapa objek sebagai senjata untuk menyerang sesama mereka.

Susulan itu, polis membuat tangkapan ke atas suspek sebaik menerima laporan kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here