Jangan jadikan pegawai kerajaan perisai lindung PM gagal – Faiz Fadzil

0
403

PEMBANGKANG melihat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta penjawat awam ‘mempertahankan kerajaan’ daripada dakwaan serta fitnah seolah-olah paksaan agar menyokong parti pemerintah.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Faiz Fadzil, berkata Perdana Menteri sepatutnya tidak ada hak mengarahkan pegawai kerajaan agar mempertahan kerajaan yang dilihat ramai sebagai korup, memetik laporan MalaysiaKini pada Rabu.

Pada masa sama, kata Faiz, perdana menteri juga sepatutnya tertakluk kepada kritikan jika ada mana-mana keputusan yang diambil kerajaan didapati merugikan rakyat.

“Jika kamu Perdana Menteri gagal, pegawai kerajaan juga berhak mengkritik. Jangan jadikan pegawai kerajaan sebagai perisai melindungi kegagalan perdana menteri,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Faiz Fadzil

Tambah Adun Permatang Pasir itu lagi, sesuatu rungutan dan kritikan yang dibangkitkan rakyat bukanlah fitnah, malah sesetengahnya terbukti benar bersama fakta berkaitan.

Misalnya, kata Faiz, kecaman rakyat terhadap kegagalan kerajaan mengawal kenaikan harga barang serta kos sara hidup.

“Apabila rakyat menuntut kerajaan mengambil langkah proaktif agar menurunkan harga barang, antara lain dengan mengekalkan subsidi tertentu, ia adalah fakta.

“Yang turut terkesan akibat masalah itu juga adalah penjawat awam.

“Justeru mengarut untuk Perdana Menteri mendesak penjawat awam mempertahankan dia dan kerajaan,” katanya.

Faiz berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berhubung kenyataan dibuat Ismail Sabri Yaakob dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Sebelum ini media melaporkan Ismail Sabri sebagai berkata, kerajaan pimpinannya adalah kerajaan bersama yang menekankan konsep Keluarga Malaysia, justeru penjawat awam wajar mempertahankan ia daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbiran itu gagal.

Katanya penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan bukannya mempertahankan parti politik.

Faiz berkata, seseorang Perdana Menteri tidak berada di atas undang-undang dan sesuatu tindakan yang tidak betul sudah tentu memberi kesan kepada parti politik yang disertainya.

“Lihat sahaja kes LCS (kapal tempur pesisir), bukankah berlaku ketika zaman BN dan menteri terlibat juga daripada BN. Bagaimana penjawat awam boleh diseru agar kerajaan dipertahankan?” katanya.

Dakwa Faiz sebenarnya Ismail Sabri tidak memahami konsep demokrasi serta gagal membezakan bidang kuasa dan fungsi di antara kerajaan dan parti.

“Jika begini sikapnya, Ismail Sabri adalah perdana menteri paling teruk dalam sejarah negara kerana menggunakan pegawai kerajaan untuk menjaga kepentingan politik,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here