[VIDEO] Winnie Albert syukur diri lebih dikenali, terbuka terima tawaran ke pentas lebih besar

0
1376

SIAPA sangka hanya disebabkan satu video tular dirinya menyanyi, nama individu ini mula mendapat perhatian dan meniti di bibir orang ramai bukan sahaja di dalam negara, malah di beberapa negara Asia Tenggara.

Masih terkejut dengan keadaan dirinya sedang mendapat perhatian ramai, insan yang tular selepas menyanyikan lagu ‘Percayalah’ dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Winnie Albert, 45 berkata, dirinya benar-benar tidak menyangka mula dikenali sehingga ke luar negara.

Bercerita kepada SatuBerita, Winnie menganggap penularan video nyanyiannya di platform media sosial TikTok sebagai rezeki daripada Tuhan dan bersyukur dengan perhatian yang diberikan orang ramai sehingga tular di Filipina, Indonesia dan China.

“Syukur sangat-sangat, dan saya berterima kasih kerana tidak sangka yang video itu mendapat perhatian daripada pengguna di Semenanjung juga negara luar.

“Sehinggakan dalam dua ke tiga hari ini saya rasa tak tenang, masih lagi terfikir biar betul aku tengah tular? Memang tak sangka. Saya rasa kesal, malu dan takut pun ada juga bila memikirkan saya tidak layak untuk mendapat perhatian sebegini.,”

“Saya persoal layakkah saya diterima orang kerana saya bersaiz besar? Saya memang rasa tak layak. Namun saya tetap bersyukur dan berterima kasih,” luahnya ketika dihubungi pada Isnin sambil mendoakan orang ramai yang menyokong dirinya dimurahkan rezeki.

Anak kelahiran Serian, Sarawak itu berkata dirinya sedar bahawa ramai orang memasang harapan untuk melihat dirinya membawa bakat ke pentas yang lebih besar dan memberitahu bahawa beliau terbuka sekiranya diberikan peluang untuk berbuat sedemikian.

“Kalau ada peluang dan rezeki daripada Tuhan untuk bawa bakat saya ke pentas yang lebih besar, saya terbuka hati untuk menerima kerana saya akan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama Sarawak.

“Dahulu, saya juga pernah ada angan-angan kalau saya boleh cipta nama di Semenanjung Malaysia, pasti sangat bertuah sebagai anak seni Sarawak. Namun saya berasa tidak layak tetapi bersyukur untuk ada rezeki di sini.

“Saya akan cuba yang terbaik demi Sarawak, terutamanya untuk mereka yang baru mengenali saya di Semenanjung, kalau ada rezeki untuk melebarkan sayap di sana, saya akan bekerjasama sebaik-baiknya,” katanya.

Malah, Winnie yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung di dalam industri muzik Iban dengan rendah hati merasakan dirinya masih lagi memerlukan banyak ilmu di dalam bidang nyanyian dan masih menjalani kelas vokal.

Mengulas komen orang ramai yang menyamakan nyanyiannya sepert Allahyarhamah Adibah Noor, Winnie mengakui bahawa dirinya terharu apabila dia sudah menganggap penyanyi legenda itu sebagai ikon.

“Saya pernah jumpa dengan arwah Adibah Noor ketika dia buat persembahan di Bintulu. Saya minat dengan satu daripada lagu arwah iaitu ‘Terlalu Istimewa’ kerana ia mengingatkan kepada mendiang bapa saya.

“Apabila ramai yang kata nyanyian saya seperti arwah, saya sangat terharu dan bersyukur buat mereka yang sudi menerima saya seadanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Winnie sempat memberikan pesanan kepada penyanyi baharu terutamanya mereka yang menempa nama di Sarawak supaya sentiasa merendah diri dan tidak melupakan peminat selain menganggap mereka sebagai ahli keluarga sendiri.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here