Skandal LCS: Tindakan pendakwaan di mahkamah, bukan RCI yang diperlukan

0
790

APA perlunya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk siasat penyelewengan skandal Kapal tempur persisir Pantai (LCS)?

Hanya buang masa sahaja RCI ini. Dalam Bahasa Inggeris disebut ‘redundant’. Sudah terang kenapa hendak bersuluh lagi?

RCI pun bukan ada taring. Kuku pun tak ada. RCI tak ada kuasa pendakwaan. Penemuan RCI tak sama dengan kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ada kuasa undang-undang.

Hasil Siasatan RCI boleh dicabar di Mahkamah di bawah kaedah semakan Kehakiman atau judicial review.

RCI ini yang terma rujukannya ditentukan oleh Perdana Menteri hanya riuh dan sibuk-sibuk saja tetapi akhir pi mai, pi mai tang tu saja. Tak seorang pun nanti yang didakwa di Mahkamah.

Macam-macam RCI telah ditubuhkan sebelum ini. Boleh sebutkan contoh orang yang telah diheret ke Mahkamah, didakwa dan berjaya dihukum denda atau disumbat ke penjara kerana RCI?

Jadi RCI tak ada kuku,tak ada taring. Buang masa saja

Dalam skandal LCS, Satu laporan audit negara telah dibentangkan di Parlimen. Ini laporan audit negara tentang Hal kewangan negara. Tak cukupkah dengan laporan audit negara?

Kemudian laporan audit negara itu telah disemak oleh PAC iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang memantau urusan perbelanjaan kewangan negara.

PAC telah membuat siasatan susulan laporan audit Negara berkenaan isu LCS itu dan menemui pelbagai kesalahan yang bersifat salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan pelbagai kelemahan serta kecuaian pengurusan wang yang diperolehi dari kerajaan. Bukan enam ringgit tetapi enam bilion ringgit.

Dalam masa yang sama SPRM pun telah buat siasatan tentang isu LCS ini. Dilaporkan telah selesai siasatan. Tetapi perlu teruskan Siasatan lagi ke atas ‘fresh evidence’.

RCI mana ada kuasa menyiasat secara menyeluruh seperti apa yang ada pada SPRM? Buang duit Kerajaan saja jika agensi sehebat SPRM tak diberi fungsi menyiasat skandal LCS.

Kalau bidang kuasa SPRM tak cukup, boleh libatkan agensi siasatan lain juga iaitu polis PDRM. Tak perlu RCI menyibuk lagi.

Apa yang penting SPRM buat siasatan yang meluas dan mendalam serta teliti untuk membina Kes yang kuat.

Kemudian serah kertas siasatan yang lengkap kepada pendakwaraya untuk diteliti dengan cermat.

SPRM dan Jabatan Pendakwaraya boleh mengambil pengalaman dari kes pendakwaan SRC International san kes 1Malaysia Development Berhad (IMDB) untuk membina kes pendakwaan yang kukuh dalam isu LCS.

Jadi jangan berlengah-lengah tangani isu Skandal Rasuah LCS ini. Lagipun Perdana Menteri dah bersetuju laporan Tan Sri Ambrin Buang, bekas Auditor Negara tentang LCS boleh dinyahrahsia atau ‘declassify’.

Jadi apa nak tunggu lagi? Kenapa nak buang masa lagi dengan RCI?

Perdana Menteri pun dah janji kepada rakyat bahawa tidak ada siapa yang bersalah dalam skandal LCS ini akan dilindungi.

Jadi bertindak sekarang. Dakwa segera di mahkamah siapa yang bersalah dalam skandal LCS.

HASSAN ABDUL KARIM adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here