1,500 restoran ‘mamak’ dijangka tutup pada akhir 2022

0
499

PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menjangkakan 1,500 restoran ‘mamak’ akan ditutup menjelang akhir tahun ini susulan kekurangan pekerja asing dan kesukaran mencari pekerja tempatan di negara ini.

Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata kekurangan pekerja asing semakin kritikal menyebabkan 3,000 pengusaha restoran daripada 12,000 ahli yang berdaftar dengan PRESMA terpaksa ditutup sejak penularan wabak Covid-19 dua tahun lalu.

“Kekurangan pekerja memberi impak besar kepada kelangsungan hidup industri perkhidmatan makanan sejak larangan kemasukan pekerja asing berkuat kuasa.

“Sejak pandemik, dalam rangkaian restoran saya sahaja, lebih 250 pekerja restoran telah balik ke India dan tidak dapat masuk semula ke negara ini manakala industri restoran ‘mamak’ memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 lagi pekerja untuk mengisi kekosongan di seluruh negara,” katanya, lapor the Malaysian Reserve.

Menurut laporan media pada Februari lepas, lebih 2000 restoran ‘mamak’ terpaksa ditutup kerana kekurangan pekerja asing sejak 2020.

Selain itu, Jawahar turut berkata, selain PRESMA, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Majikan Restoran India Malaysia (PRIMAS) dan Persatuan Pemborong dan Peruncit Islam Malaysia (MAWAR) turut menggesa kerajaan untuk melanjutkan tempoh pengambilan pekerja asing sehingga Oktober 2022.

Beliau juga meminta kerajaan meneliti setiap cadangan NGO yang mewakili pelbagai industri terjejas sebelum pindaan dasar lain bagi membantu ahli mereka mendapatkan pekerja asing.

“Pengumuman kerajaan akan memberi impak besar kerana kekurangan tenaga buruh dalam semua sektor masih berterusan dan belum selesaikan di mana keadaan peniaga memerlukan khidmat pekerja asing terutama dalam fasa endemik.

“Setakat ini, hanya 30% ahli persatuan mendapat kelulusan pekerja asing manakala 70% permohonan masih dalam sistem dan ada ahli baru memohon kerana terdapat pelbagai syarat yang perlu dipenuhi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu bertindak segera untuk menyelamatkan industri dan ribuan pekerja yang terjejas.

“PPIM juga menerima aduan daripada industri keselamatan dan pembersihan yang turut terjejas.

“Isu ini perlu diteliti kerana ia melibatkan ramai orang. Tambah lagi isu permintaan, pelaksanaan gaji minimum, semua itu perlu diambil kira,” katanya.

Pada 5 Ogos lalu, Kementerian Sumber Manusia mengumumkan permohonan pengambilan pekerja asing dihentikan sementara pada 15 Ogos ke 31 Ogos untuk membuat semakan prosedur permohonan pekerja asing.

Kementerian menyatakan perkara ini berikutan pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang akan berkuat kuasa bermula 1 September dan akan dimaklumkan tidak lama lagi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here