LCS:SPRM perlu telus tanpa lindungi sesiapa

0
249

NAIB Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar mahu kerajaan bersikap telus dan tidak melindungi sesiapa dalam isu penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau menegaskan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu berani dan tidak memihak dalam memikul tanggungjawab itu.

Jelasnya, ini memandangkan integriti SPRM dipersoalkan banyak pihak sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa memberikan arahan supaya siasatan yang lebih menyeluruh disegerakan.

Menurutnya, SPRM sepatutnya berfungsi secara bebas tanpa memerlukan arahan daripada Perdana Menteri.

“Bagi saya, ini satu perkara yang sangat menjelikkan dan tidak seharusnya berlaku. Tapi tindakan untuk menyegerakan siasatan itu adalah tepat.

“Cuma dalam soal ini, kita nak tahu sejauh mana kejujuran PM, sama ada siasat secara telus atau ada unsur nak melindungi.

“Saya harap SPRM perlu lebih bebas dan PM juga harus telus dengan kenyataannya dan tidak mengganggu gugat.

“Saya minta SPRM sepatutnya tidak perlu tunggu dalam kes besar sebegini yang membabitkan pengurusan dan pentadbiran pimpinan kerajaan kerana memang itu peranan mereka sebagai badan bebas,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Mahfuz turut menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi melihat kepada keseluruhan masalah perolehan kerajaan.

“Siasatan SPRM dan RCI perlu berjalan serentak. SPRM mesti menumpukan kepada isu LCS ini manakala RCI pula bagi melihat keseluruhan masalah perolehan kerajaan dalam Kementerian Pertahanan.

“Seterusnya jika ada bukti kukuh, mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here