Ahli perniagaan dituduh tipu RM1.89j selesai kes cukai rokok

0
215

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG ahli perniagaan dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas lapan pertuduhan menipu seorang individu bagi menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Eksais Diraja Malaysia membabitkan nilai RM1,895,020 pada 2019.

Bagaimanapun tertuduh, Chan Eng Leong, 48, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mohd. Khalid Abd. Karim dan Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, Eng Leong didakwa menipu Pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd., Goh Kim Heong dengan memperdaya untuk mempercayai dia boleh menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak JKDM dan Jabatan Eksais DiRaja.

Tertuduh dengan curangnya telah mendorong Kim Heong memindahkan saham syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd. kepada syarikat Natural Transforms Sdn. Bhd. miliknya yang mana Kim Heong tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh enam kali pada 24 April dan masing-masing sekali pada 11 Jun dan 15 Ogos 2019 di alamat No 29, Green Hall, Georgetown, Pulau Pinang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri; Mohammad Nazri Abdul Rahim; Teh Li Siew dan Chew Qi Wei manakalan tertuduh diwakili peguam R.S.N Rayer dan R. Arvend.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Bagaimanapun, Rayer merayu mahkamah mempertimbangkan jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kesemua akaun bank milik tertuduh kini sudah dibekukan.

Selain itu, tertuduh sebelum ini turut diarahkan membayar wang jaminan sebanyak RM450,000 bersabit dua lagi kes yang sedang dihadapinya di Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Sesyen Butterworth.

Hakim Mohd. Khalid kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Sementara itu, Hakim Mazdi pula menetapkan wang jaminan keseluruhan RM130,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Selain itu, beliau turut menetapkan syarat tambahan yang mana tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu pengadu dan saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

Kedua-dua mahkamah turut menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here