Polis siasat cubaan samun rumah guna parang

0
376

POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap insiden cubaan samun oleh seorang lelaki di sebuah rumah sebagaimana yang dipaparkan dalam satu video di sebuah akaun TikTok.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berkenaan berlaku di sebuah rumah di Taman Tasek Indra di sini, pada pukul 6.40 petang, 5 Ogos lalu.

Katanya, siasatan lanjut ke atas kes berkenaan sedang dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

“Polis Daerah Ipoh ingin menyeru kepada mana-mana saksi yang telah menyaksikan kejadian tersebut supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Astro AWANI.

Sebelum itu, sebuah akaun TikTok pada Khamis telah memuat naik video pendek dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan cubaan samun oleh seorang lelaki di sebuah rumah.

Kapsyen pada video berdurasi 12 saat itu mendakwa kejadian berlaku di sebuah taman perumahan di Sungai Siput Utara.

Dalam video berkenaan memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar dengan memegang dipercayai parang cuba untuk masuk ke sebuah rumah.

Bagaimanapun, kehadiran lelaki itu disedari individu di dalam rumah berkenaan sebelum bertindak menutup pintu menyebabkan suspek pantas beredar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here