Kerajaan stabil, rakyat terima manfaat – Azmin

0
237

FOKUS pemimpin Bersatu dalam kerajaan hari ini adalah untuk memulihkan semula ekonomi dan menangani Covid-19, demikian tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang sebelum ini dikaitkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada Bersatu berkata, kestabilan kerajaan perlu diutamakan agar rakyat terus menerima manfaatnya.

“Saya nak tegaskan sekali lagi kerajaan hari ini memberi fokus dan komited untuk dua perkara penting… pertama kita komited untuk memulihkan dan mencerdaskan ekonomi negara, itu komitmen kita.

“Kedua, kita mahu menangani menguruskan COVID-19 lebih efektif, dasar kita ambil dua tahun lalu melihat satu pertumbuhan positif dari segi ekonomi, pelaburan dan perdagangan, malah kes baharu (COVID-19) pun sudah terkawal Alhamdulilah,” katanya lapor Astro AWANI.

Azmin berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di antara 22 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat ejen pemasaran antarabangsa di Taman Ekspo Pertanian malaysia (MAEPS) Serdang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di Serdang pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, , kerajaan yang dipimpin oleh Ismail Sabri merupakan kerajaan atas gabungan PN sebagai komponen terbesar.

Kerajaan ketika ini tambahnya, telah mewarisi dasar yang efektif dalam menangani isu ekonomi dan kesihatan.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan gabungan bukan satu parti seperti sebelum ini, antara gabungan parti terbesar adalah kerajaan PN.

“Maka apabila saya dan rakan saya bahawa tanggungjawab kita memperkukuhkan kerajaan bermakna kita nak perkukuhkan gabungan sedia ada.

“Kalau kita lemah, maka kerajaan PN lemah, adalah tanggungjawab saya pastikan kerajaan ini kuat supaya dapat tangani dua isu ini,” katanya lagi.

Mengulas mengenai hubungan Bersatu dan UMNO yang dilihat semakin tegang ketika ini, ujar Azmin lagi, beliau lebih fokus kepada politik berorentasikan tindakan bagi kepentingan rakyat.

“Kita tak boleh terjebak dalam politik merugikan rakyat, saya mahu politik ‘action oriented’ dapat berikan khidmat kepada rakyat pastikan kita berjaya memenuhi dua matlamat mencerdaskan ekonomi dan tangani COVID-19,” jelas Azmin lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here