JAWI, PDRM siasat ajaran sesat kumpulan Hadi Minallah

0
502

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama melaksanakan siasatan dan tindakan susulan terhadap kegiatan ajaran sesat dikenali kumpulan Hadi Minallah.

Siasatan itu berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, sebarang usaha menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam harus dibanteras habis-habisan.

“Umat Islam disarankan sentiasa merujuk kepada autoriti agama bagi mengenal pasti dan menangkis anasir-anasir mengelirukan.

““Ia termasuk dari segi akidah, syariah dan pemikiran yang memesongkan akidah serta menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengenal pasti lokasi pusat operasi kumpulan Hadi Minallah.

Jelasnya, maklumat berhubung lokasi itu telah diserahkan kepada JAWI untuk diambil tindakan selanjutnya.

Jakim dilaporkan telah membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tindakan menyekat penularan ajaran berkenaan.

Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia dan dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here