Pelajar tingkatan satu curi tabung masjid ditahan

0
221

TINDAKAN seorang pelajar tingkatan satu dan rakannya mencuri tabung di sebuah surau di Taman Keramat Permai, Ampang Jaya, Selangor mengundang padah apabila ditahan polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari jemaah surau berusia 68 tahun apabila melihat tabung itu tertanggal dari kedudukan asal di bahagian ruangan solat wanita pada jam 6 pagi, 28 Julai lalu.

Menurutnya, jumlah kerugian dialami sebanyak RM30 dan dia kemudian tampil membuat laporan polis.

“Susulan itu pada jam 10.10 malam tadi, sepasukan polis menahan dua lelaki berusia 13 dan 21 tahun di tepi Jalan 6/10, Tasek Tambahan.

“Suspek pertama masih bersekolah di Sri Kembangan Selangor manakala seorang lagi suspek tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini, memetik laporan Harian Metro.

Mohamad Farouk berkata, turut dirampas sebuah motosikal Yamaha Lagenda dipercayai digunakan di tempat kejadian yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Modus operandi suspek adalah mensasarkan tabung duit derma dalam surau.

“Reman terhadap suspek dibuat pada hari ini di Mahkamah Ampang dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here