Bekas Exco, dua yang lain dilepas, dibebas pertuduhan rasuah RM35.7 juta

0
246

Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan bekas Exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi, anak lelakinya dan seorang perunding hartanah atas pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram, kesemuanya berjumlah RM35.7 juta, lima tahun lepas.

Hakim Kamaruddin Kamsun membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim Abdul Latif dan Amir Shariffuddin Abd Raub.

Abdul Latif, 56, menghadapi 33 pertuduhan rasuah dan 13 pertuduhan penggubahan wang haram, manakala anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 30, menghadapi empat pertuduhan melibatkan penggubahan wang haram, manakala Amir Shariffudin, 49, menghadapi 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan penggubahan wang haram.

Pada 21 April, 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Endau itu, daripada 37 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta, pada 2017.

Selain itu, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin, juga turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkenaan pada tarikh yang sama.

Sementara itu, Kamaruddin dalam penghakimannya berkata keputusan dibuat setelah mahkamah meneliti perbicaraan dan hujahan, dan mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Kamarudin berkata mahkamah mendapati bahawa bayaran fi konsultasi yang diterima tertuduh pertama iaitu Amir Shariffuddin, adalah sah di sisi undang-undang, sekali gus menyangkal dakwaan pendakwaan bahawa wang itu diperolehi daripada aktiviti tidak sah.

Oleh itu, Kamarudin berkata  tidak wujud keadaan yang diterima Amir Shariffuddin dari aktiviti haram dan  Abdul Latif tidak menyalahgunakan apa-apa kuasanya untuk mendapat suapan.

Secara ringkas, Kamarudin berkata bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan oleh yang demikian, kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan dari kesemua pertuduhan dengan jaminan dikembalikan.

Sementara itu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pengarah I, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata pihaknya akan meneliti keputusan mahkamah itu dan akan membuat fail rayuan pada minggu ini.

Kesemua pertuduhan melibatkan Seksyen 32(8)(C) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Abdul Latif dan Ahmad Fauzan Hatim diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin, Datuk Hasnal Rezua Merican, Siti Sarah Khalil, Zulaikha Aini Mohamed Khoir Johari, Rahim Alin dan Muzzamil Merican manakala Amir Shariffuddin diwakili Khairulazwad Sariman.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa atas pertuduhan rasuah dan pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, bagaimanapun kesemua mereka  mengaku tidak bersalah.

Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru membuat keputusan melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada 7 Nov 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here