Edar dadah 89.8 gram, penganggur dihukum gantung sampai mati

0
232

SEORANG penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini, kerana mengedar dadah methamphetamine seberat 89.8 gram pada September 2016.

Memetik laporan Berita Harian, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Hafizul Che Mohamad Zahid, 30, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

Mohamad Abazafree dalam alasan penghakiman berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh adalah meragukan dan bercanggah dengan pihak pendakwaan.

“Secara amnya, pembelaan Mohamad Hafizul berpaksikan versi sama sekali berbeza dengan pihak pendakwa raya.

Malah, saksi-saksi yang ditampilkan juga memberi keterangan yang meragukan dan bercanggah. Justeru, selepas membuat penilaian maksimum, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

“Mahkamah tiada pilihan dan Mohamad Hafizul dihukum dengan hukuman mati dan akan ditahan sehingga satu tarikh sebelum digantung,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya methamphetamine seberat 89.8 gram.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Bharu, Tumpat, jam 4.20 petang pada 22 September 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Arshad dan tertuduh diwakili peguam, Ridhuwan Ismail.

Terdahulu, Ridhuwan memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh sudah ditahan enam tahun iaitu sejak enam tahun lalu ketika tertuduh berusia 24 tahun.

Katanya, tertuduh juga tidak pernah mempunyai rekod jenayah dan dadah sebelum ini, selain memberi kerjasama baik sepanjang kes perbicaraan berlangsung.

Norazlinawati bagaimanapun berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan memandangkan kes dadah semakin berleluasa.

Katanya, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan hukuman setimpal mampu memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here