SURAT PEMBACA | Peruncit vape Melayu terkesan di bawah GEG

0
421

Oleh FIRDAUS ZULKIFLI

Pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang kehilangan kerja dan kekurangan punca pencarian. Saya adalah antara mereka yang terkesan.

Sebagai seorang penolong jurutera di sebuah syarikat pembinaan, majikan saya terpaksa memberhentikan saya kerana industri pembinaan tidak mampu beroperasi sepenuhnya ketika awal PKP. Menggunakan duit pampasan yang diterima saya telah menggunakan duit tersebut dan keseluruhan simpanan kecemasan saya sebagai modal untuk meniaga vape.

Saya bersyukur kerana dengan perniagaan ini, saya mampu memberi makan untuk saya, isteri dan anak-anak. Ketika PKP juga, banyak bantuan yang diberikan Kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan bakul makanan amat membantu saya dan keluarga untuk hidup dengan sederhana sepanjang PKP.

Namun demikian, setelah keadaan beransur pulih dan Kerajaan bertukar tangan lagi dan Perdana Menteri dari Barisan Nasional kembali memerintah, kita dihimpit pula dengan kenaikan harga barang yang mendadak. Saya faham masalah inflasi adalah masalah global kerana perang di Ukraine, tetapi kelihatan Kerajaan gagal untuk membantu dalam menangani masalah ini. Jihad Ekonomi sekadar retorik.

Perniagaan saya turut terjejas kerana rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang merupakan pelanggan utama saya, terpaksa mengikat perut dan mengurangkan perbelanjaan harian mereka. Selang beberapa hari baru ada pelanggan dan kuantiti pembelian jauh lebih sedikit bermula awal tahun ini.

Perniagaan saya amat lembap dan kadangkala saya terpaksa meminjam wang dari saudara mara dan rakan-rakan untuk memastikan komitmen bulanan mencukupi. Saya bersyukur, kerana saya mempunyai sahabat dan ahli keluarga yang memahami.

Namun, sejak dua menjak ini saya merasa amat tertekan. Katanya Kerajaan pimpinan Dato Sri Ismail Sabri akan mengharamkan penjualan rokok dan vape kepada dewasa berusia 18 tahun bermula daripada mereka yang lahir dari tahun 2007. Ini bermakna pendapatan saya akan terus terjejas dan besar kemungkinan saya akan menanggung kerugian daripada pelaburan saya untuk meniaga vape.

Kompaun yang bakal dikenakan juga jika meniaga vape kepada mereka yang sudah dewasa ini kelak mencecah puluhan ribu ringgit. Ini tidak masuk akal.

Saya faham kerajaan serius dalam hal untuk melawan gejala merokok dan vape di kalangan dewasa.Namun, saya amat terkilan. Haramkan sahaja rokok untuk generasi tersebut. Rokok dibiayai syarikat syarikat global yang besar. Mereka tidak terkesan jika rokok diharamkan.

Tapi janganlan mengharamkan vape. Vape merupakan mata pencarian ramai usahawan Bumiputera. Nak harapkan kontrak kerajaan, orang seperti saya ini tidak berkawan dengan mereka yang berkuasa. Saya hanya pengusaha vape kecil kecilan yang cuba mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga.

Saya telah mengemukakan pandangan saya kepada persatuan-persatuan pengguna vape untuk merayu kepada Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin untuk mendengar rintihan peniaga kecil seperti saya.

Katanya Kerajaan mengambil inspirasi daripada New Zealand dalam hal ini. Tetapi di New Zealand, hanya rokok yang diharamkan untuk generasi yang lahir pada tahun 2009 ke atas, vape tidak diharamkan.

Kenapa vape disamakan dengan rokok? Ini tidak masuk akal. Rokok itu amat berbahaya. Ada kajian yang membuktikan vape lebih selamat. Vape bukan rokok. Rokok bukan vape.

Lagipun, Kerajaan pernah membuat Kempen Tak Nak Merokok, jadi rakyat faham bahaya rokok. Buat lah kempen kesedaran bahaya vape terlebih dahulu sebelum mengambil langkah drastik mengharamkan vape untuk generasi lahir tahun 2007 dan ke hadapan.

Ambil langkah bertahap. Timbulkan kesedaran didik anak anak yang bakal berusia 18 tahun ini. Jika didikan itu baik, sudah pasti mereka akan dengan sendiri memilih untuk tidak merokok atau menggunakan vape. Tetapi jangan ambil kebebasan memilih itu daripada mereka.

Sikap Kerajaan Keluarga Malaysia dalam memperjuangkan pengharaman rokok dan vape ini mencerminkan betapa mereka tidak mendengar denyut nadi rakyat yang susah terutamanya pengusaha bumiputera kecil kecilan seperti saya. Apa gunanya melaungkan slogan Keluarga Malaysia jika anak di rumah dibiarkan susah.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here