[VIDEO] ‘Negara pengeluar minyak masak, tetapi kenapa masih mahal?’

0
550

PENGUMUMAN kerajaan untuk menurunkan harga siling bagi minyak masak 5 kilogram (kg) kepada RM34.70 bermula 8 Ogos ini dilihat sebagai satu langkah untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat.

Namun, menerusi tinjauan yang dilakukan SatuBerita sekitar Petaling Jaya pada Selasa mendapati kadar baharu itu masih perlu diturunkan lagi bagi mengurangkan bebanan rakyat.

Seorang penjawat am, Helmi Hamiri, 41 berkata harga baharu itu masih perlu dikaji semula serta dikurangkan lagi memandangkan Malaysia antara negara pengeluar minyak dunia.

“Sebagai negara pengeluar yang ada pelbagai jenis sumber termasuk minyak sawit sepatutnya harga lebih murah berbanding yang diumumkan baru-baru ini.

“Kalau RM30 lebih itu, pada saya masih lagi tinggi untuk sebuah negara pengeluar minyak masak,” katanya.

Bagi Syahrizat Ramli, 31, kadar baharu yang bakal dilaksankan itu sewajarnya ditetapkan pada harga lebih rendah bagi membantu rakyat secara keseluruhan.

“Untuk harga barang, terutama minyak masak, pihak kerajaan perlu memainkan peranan bagi menurunkan lagi harganya.

“Ini kerana ia memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) kerana saya faham harga minyak masak akan memberi kesan terhadap harga barang makanan lain,” katanya.

Dia turut mengingatkan pengguna perlu memainkan peranan dengan berbelanja secara bijak bagi mengelak daripada terus terjerat dengan isu kos sara hidup tinggi yang sukar dibendung.

“Apa yang penting ialah, golongan B40 dan M40 perlu bijak untuk menguruskan perbelanjaan dengan mengehadkan perbelanjaan bagi kemahuan dan utamakan perbelanjaan bagi barangan keperluan asas,” ujarnya.

Seorang pekerja am, Johari Bonot, 43, harga baharu yang diumumkan wajar berada di tahap lebih rendah melihat kepada tahap kebergantungan terhadap minyak masak yang tinggi dalam kalangan pengguna.

“Sebab minyak masak ini sudah menjadi rutin, jadi kalau boleh dikekalkan harga tetapi kalau harga turun, lebih bagus,”katanya.

Selain itu, Dayana Mohamad, 30, berpendapat kerajaan perlu memainkan peranan dalam mengawal harga pasaran meskipun penurunan harga berkuat kuasa kelak.

“Kerajaan perlu bendung masalah kos sara hidup tinggi selain menggerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memainkan tugas mereka sebaik mungkin bagi memantau harga dan sebagainya.

Namun, bagi Syahrul Apandi, 26, harga RM34.70 bagi minyak masak 5kg berada di tahap berpatutan melihat kepada keadaan ekonomi semasa.

“Bagi saya, harga baharu itu berada di tahap berpatutan kerana sekiranya harga itu terlalu rendah, ekonomi negara mungkin terjejas,” ujarnya-SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here