KISAH Si Tanggang yang disumpah menjadi batu akibat derhaka terhadap ibunya sering dijadikan kisah tauladan agar anak-anak menghormati orang tuanya.
Namun, kisah itu sering dikatakan tidak lebih daripada satu cerita rakyat ataupun rekaan semata-mata tatkala masih tiada catatan yang jelas menceritakan akan perkara ini.
Walau yang sedemikian, bagi penduduk di sekitar perkampungan Bukit Treh, Muar, pengalaman yang pernah mereka lalui di bukit berusia ratusan tahun ini seperti menunjukkan kebenaran kisah yang menyerupai Si Tanggang.
Ketika ditemui SatuBerita baru-baru ini, penyelidik sejarah Muar, Azman Ibrahim, 54, berkata kajian yang dilakukan berkaitan Bukit Treh menunjukkan penduduk setempat seakan-akan mempercayai kisah seekor helang yang dikaitkan dengan kisah Lang Mak Ku.
“Jika di Selangor, ada kisah Si Tanggang, Jika di Indonesia, ada kisah Malin Kundang tetapi di Bukit Treh, kita bercerita mengenai kisah Lang Mak Ku.
“Watak yang menjadi watak derhaka dalam kisah Lang Mak Ku ialah Setunggal yang dahulunya merupakan seorang pemuda miskin yang telah merantau sehingga memperoleh kekayaan,” katanya.
Tambah Azman, pengakhiran kepada hidup Setunggal ini seakan sama dengan penceritaan dongeng Si Tanggang apabila pemuda itu disumpah menjadi seekor helang.
“Oleh kerana Setunggal ini tidak mengakui ibu bapanya, ibu yang kecawa telah menurunkan sumpah kepada anaknya sehingga menjadi seekor helang manakala isteri mudanya telah meninggal dunia,” tambah Azman.
Perkara itu dikuatkan lagi dengan kewujudan sebuah kubur lama yang tidak bernama serta tidak mempunyai asal usul yang jelas.
“Mengikut kepercayaan orang setempat, kubur itu adalah milik seorang perempuan bernama Sharifah yang menjaga kawasan Bukit Treh.
“Tetapi, dalam satu lagi kisah yang dikongsikan masyarakat sekeliling, dikatakan ini merupakan kubur milik ibu kepada Setunggal,” katanya.
Bagi penduduk tempatan, Azman Khalid, 54, dia mengakui dirinya pernah mendengar kisah Lang Mak Ku selain pernah mempunyai pengalaman mendengar kicauan burung helang yang sedikit berbeza ketika dirinya masih kecil.
“Lang Mak Ku ini merupakan cerita dari mulut ke mulut. Pengalaman yang mengatakan bahawa ada mendengar bunyi burung helang itu, memang saya pernah mengalami dan bunyi helang itu seakan bunyi ‘emak-ku’” katanya.
Tidak cukup dengan itu, Bukit Treh yang berkedudukan kira-kira enam kilometer dari persisiran Sungai Muar turut menyimpan misteri yang tersendiri apabila lapisan bukit kebanyakannya dipenuhi batu laut.
Perkara itu turut mendatangkan persoalan apabila batu tersebut memiliki ciri istimewa yang membolehkannya membesar dan berkembang mengikut peredaran masa.
“Batu ini dikatakan sebagai batu laut. Semasa saya kecil dahulu, ketika saya masih berumur lapan ke sembilan tahun, batu tidaklah kelihatan sebesar ini.
“Mungkin ada pergerakan bumi, mungkin ada perkara lain yang menyebabkan ia membesar, tapi memang betul saya nampak ia lebih besar berbanding dahulu,” kata Azman.
Seorang lagi penduduk setempat, Shaharuddin Ibrahim, 61, mengakui batu laut yang boleh ditemui sekitar kawasan bukit menunjukkan pertumbuhan.
“Batu ini dahulu kecil sahaja tetapi sekarang ia semakin membesar. Jika kita lihat (gambar) sebelum ini, batu ini memang semakin membesar, itu yang dinamakan sebagai batu hidup,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.