Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Hendrawan beri kasut kepada pemain Jamaica -

Hendrawan beri kasut kepada pemain Jamaica

JURULATIH badminton negara, Hendrawan mempamerkan semangat kesukanan tinggi apabila memberikan kasutnya kepada pemain Jamaica, Samuel Ricketts ketika saingan Sukan Komanwel Birmingham 2022, awal pagi Sabtu.

Terdahulu, ketika sedang beraksi menentang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dalam aksi Kumpulan D acara berpasukan campuran, tapak kasut Samuel koyak sekali gus memaksa perlawanan yang berlangsung di National Exhibition Centre itu dihentikan seketika.

Menerusi rakaman video dimuat naik di Instagram BadLive, Samuel kemudiannya dilihat memakai kasut sukan biasa (bukan kasut badminton) untuk meneruskan aksi.

Melihat situasi itu, Tze Yong bertindak menawarkan kasutnya tetapi ditolak secara baik lawannya itu.

Tidak lama kemudian, Hendrawan tampil datang dari tempat duduk jurulatih sebelum menunjukkan saiz kasutnya kepada Samuel lalu dia bersetuju untuk memakainya bagi meneruskan aksi dalam perlawanan itu.

Rakaman itu turut menunjukkan Hendrawan kembali ke tempat duduk jurulatih dengan hanya memakai stokin.

Dalam perlawanan itu, Tze Yong tidak berdepan masalah untuk mengatasi Samuel menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-16.

Skuad badminton negara menang 5-0 ke atas Jamaica sekali gus mara ke suku akhir selepas turut merakam kemenangan 5-0 ke atas Zambia dalam aksi pertama kumpulan.

Malaysia akan berdepan Afrika Selatan bagi melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan pada Ahad.