Pendakwaan akan buktikan Shahrir terima wang Najib, terbabit ubah wang haram

0
306

PIHAK pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dihadapi bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Ab Samad akan membuktikan bahawa beliau terbabit secara langsung dengan kegiatan pengubahan wang haram apabila menerima wang RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Mohd Afif Ali yang membacakan pernyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan berkata pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan lisan bahawa tertuduh memperoleh RM1 juta daripada Najib melalui sekeping cek yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank miliknya.

“Pihak pendakwaan akan membuktikan tertuduh terbabit secara langsung dengan aktiviti kegiatan haram apabila menerima wang berkenaan.

“Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan saksi yang menunjukkan tertuduh tidak melaporkan pendapatan sebenar yang diterimanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lapor BH Online.

Dalam prosiding hari ini, Shahrir diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Syed Faisal Al-Edross, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Shahrul Syazwan Salehin dan Shazreen Mohd Hatta.

Selain Afif, pendakwaan juga diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Natrah Fareha Rahmat.

Shahrir, 72, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Datuk Seri Majib Razak berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here