Restoran hidang daging buaya seludup diserbu

0
639

SEPASUKAN pegawai Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menyerbu sebuah restoran di Bentong, Pahang kerana disyaki menawarkan hidangan istimewa daging buaya seludup dengan harga ratusan ringgit bagi setiap hidangan.

Dalam operasi pada Jumaat, empat bungkusan yang disyaki berisi daging buaya ditemui dalam peti sejuk premis terbabit lapor FMT.

Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejayaan rampasan itu hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membabitkan 14 anggota Jabatan Perhilitan serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Pahang.

“Pemilik premis berusia 48 tahun gagal menunjukkan sebarang lesen sah memiliki daging haiwan dilindungi itu dari Jabatan Perhilitan.

“Individu terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Susulan itu semua daging buaya itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Dalam kes berasingan, tiga lelaki tempatan ditahan di Bera, Pahang dan dua senapang angin buatan sendiri yang disyaki digunakan untuk aktiviti pemburuan haram dirampas.

Kadir berkata, ketiga-tiganya ditahan dalam operasi di kawasan Tapak Ramsar dan rampasan itu hasil rondaan OBK membabitkan anggota Perhilitan Semenanjung Malaysia, JPSM Pahang, veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli.

“Ketika ditahan, mereka didapati menyimpan dua ekor hidupan liar disyaki pelanduk tanpa kebenaran Jabatan Perhilitan.

“Turut dijumpai bersama suspek ialah dua laras senapang angin dan sebilah pisau. Satu laporan dibuat di Balai Polis Triang dan semua suspek serta barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.”

Dalam satu lagi serbuan di ladang sawit di Mersing, Johor pada Khamis lalu, tiga lelaki tempatan ditahan dan bahagian badan hidupan liar disyaki babi bodoh yang sudah dilapah dirampas.

“Turut dirampas bahagian kepala hidupan liar disyaki babi bodoh itu. Semua suspek gagal menunjukkan dokumen kebenaran dari Jabatan Perhilitan untuk menyimpan bahagian hidupan liar berkenaan. Barang kes yang disita dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Mersing untuk tindakan lanjut.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here