NGO, badan professional sokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok

0
518

PERTUBUHAN Kebangsaan Kanser Malaysia menegaskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok perlu diberikan sokongan bagi membendung isu penggunaan rokok dan rokok elektronik dalam negara ini.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, pertubuhan itu percaya RUU yang bakal dibentangkan itu mampu menjadi langkah positif berikutan kekurangan polisi dalam mengawal penggunaan rokok dalam masyarakat ketika ini.

“Akibat dari kecuaian kita dan polisi yang telah tertangguh sekian lama, kini kumpulan rentan iaitu wanita, para remaja dan kanak-kanak di luar sana telah menjadikan rokok dan vape sebagai tabiat baru mereka,” katanya.

Pertubuhan itu turut melihat pendekatan yang diambil dalam menghentikan penjualan dan penggunaan rokok elektronik kepada generasi yang lahir selepas 2005 adalah satu langkah yang tepat.

“Masih ramai yang kecewa atas keputusan untuk tidak membuat larangan penuh seperti yang dilaksanakan di negara jiran.

“Tetapi, apa yang dicadangkan Menteri Kesihatan untuk membuat larangan kepada generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 mesti dipersetujui di Parlimen,” katanya.

Selain itu, mereka turut percaya setiap Ahli Parlimen perlu memberikan sokongan mereka terhadap usaha ini serta berharap perkara itu tidak dilewatkan.

“RUU Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan sedikit masa lagi sebagaimana diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mesti disokong oleh semua Ahli Parlimen.

“Kecewa dengan respon beberapa Ahli Parlimen yang tidak menyokong RUU ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Code Blue pada siaran media bertarikh 20 Julai 2022, kami ingin menegaskan bahawa RUU ini telah lama ditunggu dan jangan dilengahkan lagi,” katanya.

Kenyataan itu turut menerima sokongan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan professional, seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Farmasi Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here