Pasangan kekasih sujud syukur terlepas hukuman mati

0
292

SEPASANG kekasih melakukan sujud syukur dalam kandang pesalah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini sejurus terlepas daripada hukuman mati terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6 kilogram (kg).

Tertuduh pertama, Ahmad Uzair Che Darus, 32, dan kedua, Azilafatiha Ahmad, 27, sujud kira-kira seminit selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas membuat keputusan melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Menurut Mohamad Abazafree, keputusan akhir kes pendakwaan itu mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh melalui tiga perkara termasuk akses penyewa lain terhadap rumah lokasi dadah ditemukan.

“Kemungkinan terdapat orang lain mempunyai akses ke atas rumah tersebut yang memasuki rumah itu menggunakan kunci pendua.

“Kewujudan orang itu diperkuatkan lagi dengan kehilangan televisyen dalam gambar yang dirakam dua hari berbeza oleh polis yang melakukan siasatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Sebelum itu, pasangan tersebut didakwa secara bersama mengedar jenis kanabis seberat 1.6kg di sebuah rumah di Jalan Tawang, Taman Mesira, Kampung Budi, Bachok pada pukul 1 pagi, 9 Januari 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat minimum 15 kali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga dibebaskan daripada pertuduhan secara bersama memiliki 122.76 gram (g) dadah jenis sama dan pertuduhan berseorangan yang dihadapi oleh Ahmad Uzair atas dakwaan memiliki 8.5g dadah sama pada masa tarikh serta di lokasi sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad, manakala tertuduh pertama diwakili peguam bela, Zameri Mat Nawang dan tertuduh kedua diwakili peguam bela, Shaharuddin Mohamed serta Leftenan Kolonel Bersara (B) Azhar Ahmad.

Sementara itu, di luar bilik mahkamah tersebut, ibu Azilafatiha, Asnah Omar, 68, menyambut keputusan pembebasan anak bongsu daripada lapan beradik berkenaan dengan linangan air mata.

“Sepanjang dia ditahan, hampir setiap hari saya melakukan solat hajat. Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doa saya pada hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here