Hakim: Apandi nampak tak berminat, beri kenyataan bertentangan isu ‘derma’ RM2.6b

0
250

MAHKAMAH mendapati bekas peguam negara  Tan Sri Mohamed Apandi Ali kelihatan tidak berminat dan adakala memberi kenyataan bertentangan dalam keterangannya untuk saman fitnah terhadap Lim Kit Siang.

Dalam penghakiman sebanyak 100 halaman yang dikeluarkan Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyatakan amat jelas bahawa Apandi menunjukkan sikap tidak berminat dan tidak kisah terhadap kedaulatan undang-undang yang asas dan malah akal yang wajar (common sense).

Perkara itu dilihat hakim Azimah Omar ketika Apandi berulang kali disoal oleh peguam Lim berhubung tindakan membersihkan Najib Razak daripada kesalahan, dengan menerima hujah yang wang RM2.6 bilion yang diterima bekas perdana menteri itu adalah daripada kerabat diraja Arab Saudi.

“Walaupun dengan penuh hormat, mahkamah perlu menyatakan rasa cemuh terhadap keterangan bertentangan oleh plaintif, sikap mengelak dan kenyataan tidak benar.

“Ia bukanlah sains roket untuk memahami isu RM2.6 bilion (yang diisytihar Apandi sebagai derma) adalah teras kepada kesnya sendiri.

“Ia satu kelalaian besar jika plaintif menggunakan kesempatan di mahkamah, tanpa benar-benar berterus-terang dan bersedia sepenuhnya untuk menjustifikasikan keputusannya memilih naratif derma untuk membebaskan Najib,” kata hakim seperti dipetik The Edge.

Dalam penghakimannya, Azimah juga berkata Apandi juga memberi keterangan bertentangan dengan kenyataan sebelumnya ketika ditanya peguam berkenaan sidang medianya pada 2016, di mana dia menerima naratif derma dan membersihkan Najib daripada kesalahan.

Azimah membangkitkan yang SPRM dan pasukan petugas lain telah mengesyorkan pendakwaan jenayah dibuat, atau sekurang-kurangnya siasatan medalam terhadap “derma cukup besar” dan SRC International Sdn Bhd.

Dia juga membangkitkan yang Apandi telah berkata bahawa SPRM sendiri telah berjumpa dan merakam kenyataan pihak yang memberi derma itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here