Nurul Izzah kembali sebagai Naib Presiden PKR – Sumber

0
560

SELEPAS meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR pada penghujung 2018, Nurul Izzah Anwar dikatakan akan kembali memegang jawatan itu.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber dalam parti yang dekat dengan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Nurul yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dikatakan bersetuju untuk dilantik semula ke jawatan itu.

“Semalam, presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengadakan mesyuarat dengan Rafizi dan seorang lagi individu yang merupakan penasihat Anwar.

“Hasil mesyuarat, semua pihak setuju melantik Nurul sebagai naib presiden,” kata sumber itu.

Untuk rekod, pada 17 Dis 2018, Nurul membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR.

Dia juga melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Sementara itu, sumber itu berkata bahawa buat masa ini pucuk pimpinan parti bersetuju melantik Ahli Parlimen Selayang William Leong sebagai Bendahari.

Lantikan itu dijangka dibawa untuk kelulusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dijadual bermesyuarat malam ini dan diumumkan selepas itu.

Setakat ini Malaysiakini difahamkan tiada bantahan terhadap cadangan pelantikan jawatan-jawatan di atas.

Manakala, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dilantik sebagai Ketua Penerangan.

“Setahu saya, tiga jawatan ini dimuktamadkan. Bagi jawatan yang lain presiden akan mengadakan perbincangan dengan Rafizi hari ini sebelum mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malam ini,” katanya.

Dalam pada itu, satu lagi sumber memberitahu bahawa PKR masih tidak mengambil keputusan mengenai jawatan Setiausaha Agung.

“Selain Saifuddin (Nasution Ismail), bekas pengerusi Wilayah Persekutuan Zahir Hassan disebut-sebut sebagai Setiausaha Agung.

“Zahir adalah pilihan Rafizi. Namun, kebanyakan pemimpin parti masih nak Saifuddin dikekalkan.

“Apapun, keputusan muktamad akan dibuat malam ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here