Restoran didenda RM30,000 pamer bunting ‘Ramadan Special’

0
321

MAHKAMAH Sesyen di Ipoh pada Rabu menjatuhkan hukuman denda RM30,000 ke atas sebuah restoran kerana mempamerkan bunting yang mempunyai ungkapan ‘Ramadan Special’ tanpa Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Kes ini adalah susulan daripada Op Halal yang dijalankan sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Ramadan lalu.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata hasil siasatan lanjut JAIPk mengesahkan premis berkenaan bukan pemegang sijil halal, lapor Astro AWANI.

Sehubungan itu, katanya, tindakan telah diambil kerana didapati telah membekal atau menawar untuk membekalkan makanan dengan membuat apa-apa representasi atau perbuatan yang boleh memperdaya atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

“Dengan itu ia menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan(Takrif Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah Subperenggan 5(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan di bawah perintah itu, syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta.

Katanya, tertuduh yang tidak diwakili peguam telah mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Sehubungan itu, Saifullizan menggesa pengusaha restoran atau syarikat untuk berhati-hati dalam menggunakan perbahasan halal.

Katanya, mereka perlu memastikan setiap makanan atau barang keluaran hanya menggunakan perakuan perihal halal dan penandaan halal yang mendapat perakuan daripada pihak berwibawa.

“KPDNHEP menasihati para peniaga agar memohon sijil halal yang sah apabila berurus niaga menggunakan perbahasan/penandaan halal,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here