Dua pegawai kanan MARA didakwa esok

0
389

DUA pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan didakwa di mahkamah, esok.

Kedua-duanya akan didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat lanjut berhubung jenis pertuduhan yang akan dikenakan terhadap mereka, lapor BH Online.

Pada Februari lalu, SPRM memulakan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah guna kuasa dan salah urus membabitkan beberapa pegawai kanan MARA selepas tular di media sosial satu dokumen berkait dakwaan itu.

Siasatan dimulakan dengan sesi merakam keterangan beberapa pegawai MARA Corporation (MARA Corp).

SPRM kemudian menyerbu sekurang-kurangnya tiga pejabat berkaitan MARA di ibu negara dan mengambil beberapa dokumen untuk membantu siasatan.

Pada 11 Februari lalu, SPRM mengambil keterangan lima pegawai kanan MARA berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Isu salah guna kuasa dan salah urus MARA Corp didedahkan pemilik akaun Twitter menerusi ciapannya, yang turut melampirkan enam halaman surat berhubung isu integriti pegawai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.

Lima pegawai agensi itu yang dikaitkan dakwaan terbabit juga tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur secara berasingan, menafikan terbabit perbuatan seperti didakwa.

Pada 14 Jun lalu, Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan SPRM sudah mencadangkan beberapa nama kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here