Kontraktor mengaku salah cuba rasuah penguat kuasa MBIB

0
291

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TINDAKAN seorang adik mahu membantu abangnya memakan diri apabila dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Tertuduh yang merupakan seorang kontraktor didakwa atas keselahan memberi suapan RM1,500 kepada pegawai penguat kuasa pihak berkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) tiga bulan lalu.

Phang Kok Ling yang berusia 39 tahun dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan pengakuan itu atas kesalahan memberi rasuah berjumlah RM1,500 kepada seorang pegawai MBIP pada 12 April lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Kok Ling didakwa memberi suapan kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa MBIP, Shah Rizal Abdul Hamid sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat Lotus Reflexology Spa Sdn Bhd.

Tindakan penguatkuasaan itu dibuat ejen kerajaan berkenaan kerana premis terbabit menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal mematuhi notis memberhentikan perniagaan serta kesalahan mempamer iklan tanpa lesen pihak berkuasa tempatan.

Atas kesalahan tersebut, tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang hadir menemani abangnya di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP pada 11 April lalu telah menawarkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa itu sebagai tanda kawan dan supaya tidak mengambil tindakan lagi pada masa akan datang.

Difahamkan, walaupun diberi amaran sebanyak tiga kali bahawa perkara itu merupakan satu kesalahan, tertuduh tetap menghulurkan wang RM1,500 itu sebelum meletakkannya di atas meja.

Pegawai penguat kuasa terbabit kemudian membuat tangkapan ke atas tertuduh dan membawanya ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keesokan hari untuk membuat aduan sebelum tertuduh ditahan semula pihak SPRM.

Terdahulu, peguam tertuduh, Goh Sze Han memberitahu, tertuduh yang bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan bulanan RM4,000 mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua anak yang berusia lima dan setahun.

“Tertuduh juga merupakan seorang pesakit darah tinggi dan masih mendapatkan rawatan di klinik kerajaan, selain turut merupakan seorang penderma darah tegar,” katanya sebelum meminta hukuman minimum buat anak guamnya.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudian memerintahkan hukuman penjara sehari bermula hari ini di Penjara Kluang beserta denda RM10,000, jika gagal bayar tiga bulan penjara.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here