Pesara hilang setengah juta ditipu polis palsu

0
257

SEORANG pesara sektor swasta menanggung kerugian RM529,300 selepas diperdaya sindiket ‘Macau scam’ yang menyamar sebagai polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menerima aduan daripada mangsa lelaki berusia 85 tahun itu kelmarin.

Katanya mangsa menerima panggilan daripada suspek pada pertengahan Mei lalu, dan pengeluaran dibuat melalui mesin ATM dan pemindahan wang.

“Mangsa menerima panggilan dari suspek pada pertengahan Mei lalu yang mana suspek telah menakutkan mangsa, menyatakan mangsa terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram dan kononnya akaun bank mangsa akan disiasat pihak berkuasa.

“Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek telah mengikut arahan memindahkan semua wang miliknya dalam satu akaun milik mangsa seterusnya menyerahkan akses perbankan atas talian akaun berkenaan kepada suspek.

“Mangsa tidak melakukan transaksi secara atas talian, sebaliknya pengeluaran dibuat oleh suspek kerana mangsa menyerahkan kad ATM miliknya kepada suspek.

“Transaksi terjadi sejak 26 Jun lalu hingga 6 Julai lalu. Pengeluaran yang dilakukan adalah RM10,000 melalui mesin ATM dan RM 30,000 melalui pemindahan wang,” katanya lapor BH Online.

Kamarul Zaman berkata, pada 13 Julai, mangsa telah membuat semakan akaun miliknya yang butiran diserahkan kepada suspek dan mendapati wang berjumlah RM529,300 telah dikeluarkan dari akaun itu tanpa pengetahuannya.

Malah dipindahkan kepada beberapa pihak yang pengadu tidak kenali.

“Pengadu syak dia ditipu dan membuat laporan pada kelmarin.

“Polis menjalankan siasatan meliputi pembabitan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit,” katanya Kes disiasat mengikut seksyen 420 kanun keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here