1,140 notis kesalahan merokok dikeluarkan

0
736

SEBANYAK 1,140 notis mahkamah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) kepada orang ramai di negeri ini atas pelbagai kesalahan merokok bagi tempoh enam bulan sejak Januari lepas membabitkan kompaun berjumlah RM293,100.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) itu dikeluarkan menerusi 311 operasi bersepadu terhadap 3,981 premis yang diperiksa.

“Pada tahun lepas sebanyak 457 notis mahkamah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan kompaun RM137,950 membabitkan 346 operasi daripada 7,957 premis yang diperiksa di setiap daerah.

“JKNNS sentiasa mengambil langkah drastik bagi menangani isu merokok terutama di kawasan larangan dan kini jabatan kesihatan negeri giat menjalankan operasi pada setiap hari terutama di premis makanan dan lain-lain premis larangan merokok,” katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan larangan merokok di sini malam tadi.

Mengenai operasi selama hampir sembilan jam itu, Dr Harlina berkata sebanyak 51 notis mahkamah dikeluarkan daripada 61 premis yang diperiksa di daerah ini membabitkan kompaun berjumlah RM17,000.

Beliau berkata ia termasuk kesalahan merokok di premis makanan dan pusat beli-belah serta menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa rokok di bawah harga minimum.

Jelasnya, tindakan mahkamah boleh diambil terhadap individu dikenakan notis yang memilih untuk tidak membayar kompaun dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 1,834 paket rokok dan 30 rokok batang pelbagai jenama bernilai RM11,052.50 turut dirampas atas perlanggaran pelbagai kesalahan di bawah PPKHT 2004.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama yang bukan perokok untuk menegur perokok bagi melindungi hak masing-masing sekali gus tidak menjadi perokok pasif.— Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here