Dua lelaki mengaku bersalah buat laporan polis palsu

0
249

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pengurus syarikat dijatuhkan hukuman denda RM800 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan polis palsu di Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini.

Tertuduh, Chin Chen Yee, 44, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.

Sementara seorang penganggur, R. Kumaraguru, 31, pula di mahkamah yang sama, dijatuhkan hukuman penjara lima hari beserta denda RM1,000, gagal bayar tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chen Yee didakwa telah membuat laporan polis palsu menyatakan beg silang miliknya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan wang tunai RM500 diragut dua lelaki menaiki motosikal di Taman Sutera Utama, pada pukul 10.45 malam, 3 Julai lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan Kumaraguru pula, dia didakwa telah membuat laporan polis palsu mendakwa dompet miliknya yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM beserta wang tunai RM180 disamun di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada pukul 7.30 pagi, 4 Julai lalu.

Atas kesalahan tersebut, kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes Chen Yee dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, Manakala pendakwaan bagi kes Kumaraguru pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki Danial Munir.

Difahamkan, siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh membuat laporan berkenaan bertujuan untuk mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan milik mereka. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here