Zahid gagal dapat injunksi terhadap Dr M dalam saman fitnah

0
295

MAHKAMAH Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan perintah injunksi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sementara menunggu penyelesaian samannya terhadap bekas perdana menteri itu.

Zahid memfailkan saman terhadap Mahathir pada April lalu atas dakwaan beliau meminta bantuan Mahathir supaya tuduhan rasuah terhadapnya “digugurkan”.

FMT melaporkan, Peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Mahathir memberitahu wartawan, hakim Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu ketika prosiding dalam talian.

Rafique berkata, mahkamah memutuskan Zahid perlu membuktikan kenyataan Mahathir dalam sidang media 23 Feb lalu dianggap tidak benar, sebelum perbicaraan penuh. Mahkamah turut memerintahkan Zahid membayar kos RM5,000. 

Mior Nor Haidir Suhaimi turut mewakili Mahathir, manakala Zahid diwakili peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman.

Menerusi sidang media 23 Feb lalu, Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa individu bertandang ke rumahnya pada 2018 dan Presiden UMNO itu mahu “berbaik” sebelum Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Zahid mendakwa kenyataan Mahathir tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.

Beliau turut mendakwa kata-kata Mahathir itu bermakna beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan kes jenayahnya bagi kepentingan peribadi.

Zahid menuntut ganti rugi teruk, am dan teladan.

Dalam pembelaannya, Mahathir mempertahankan kenyataannya dan berkata beliau akan mencabar saman berkenaan.

Zahid turut memfailkan saman berasingan terhadap pengganti Mahathir, Muhyiddin Yassin yang membuat dakwaan sama terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ketika pilihan raya negeri Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here