Pejuang serang kampung, 34 terbunuh di Burkina Faso

0
213

SEKURANG-kurangnya 34 terbunuh dalam serangan ke atas kampung, dipercayai dilakukan pejuang jihad di utara Burkina Faso pada hujung minggu lalu, kata pegawai dan sumber, semalam.

Di barat laut negara itu, Gabenor wilayah Boucle du Mouhoun, Babo Pierre Bassinga, berkata 22 orang dilaporkan terbunuh Ahad lalu, termasuk kanak-kanak di Bourasso, wilayah Kossi.

“Lelaki bersenjata bergerak di sekitar kampung sekitar jam 5 petang, melepaskan tembakan ke udara. Mereka pulang pada waktu malam dan melepaskan tembakan secara membuta tuli ke arah orang ramai,” kata satu sumber keselamatan.

Di utara Burkina Faso, 12 maut dalam serangan di Namissiguima di wilayah Yatenga Sabtu lalu, kata sumber keselamatan lain, yang juga tidak mahu dikenali.

Tiga daripada yang maut adalah anggota militia awam, sukarelawan untuk Pertahanan Tanah Air (VDP) iaitu pasukan bantuan yang ditubuhkan pada Disember 2019 untuk menyokong tentera.

Menurut laporan BH Online, Burkina Faso adalah salah satu negara termiskin di dunia, bergelut dengan pemberontakan jihad yang melanda dari negara jiran, Mali pada 2015.

Kempen yang diketuai terutama kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Daesh, meragut ribuan nyawa dan memaksa kira-kira 1.9 juta orang meninggalkan rumah mereka.

Berdasarkan angka rasmi, lebih 40 peratus negara itu berada di luar kawalan kerajaan.

Terdahulu, Burkina Faso berdepan rampasan kuasa pada Januari lalu, selepas kolonel yang tidak berpuas hati menggulingkan presiden yang dipilih, Roch Marc Christian Kabore.

Pemimpin baharu, Leftenan Kolonel Paul-Henri Sandaogo Damiba, mengisytiharkan keselamatan sebagai keutamaannya, namun selepas keadaan agak reda, serangan diteruskan, mengakibatkan ratusan nyawa terkorban

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here