Pesara wanita rugi RM264,950 diperdaya Macau Scam

0
459

SEORANG pesara wanita kerugian RM264,950 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, yang menyamar sebagai pegawai pejabat Pos dan pegawai polis Sabah.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata ketika berada di rumah, mangsa berusia 59 tahun, menerima panggilan daripada ‘pegawai’ terbabit kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 29 Mei lalu yang mengatakan dia dari pejabat Pos Kuala Lumpur.

Katanya, suspek memberitahu mangsa mempunyai bungkusan, sebelum talian disambungkan kepada pegawai polis di Sabah yang kemudian mengatakan bungkusan itu mengandungi dadah.

“Kerana bimbang ditahan, mangsa akur dengan arahan suspek iaitu membuat pembayaran kepada empat nombor akaun bank,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata, mangsa memasukkan sejumlah RM264,950 ke dalam empat akaun bank itu melalui 16 transaksi secara perbankan internet dan CDM mulai 29 Mei hingga 11 Jun lalu.

Zulkipli berkata, dalam tempoh itu, mangsa dilarang memberitahu sesiapa agar perkara berkenaan tidak diketahui umum bagi mengelakkan mangsa ditahan oleh pihak polis.

Katanya, mangsa turut dijanjikan bahawa wangnya itu akan dipulangkan selepas wang itu disemak oleh pihak polis dan Jabatan Audit Negara.

“Selepas membuat kesemua pembayaran, mangsa sering berhubung dan bertanyakan status wangnya, namun dimarah dan diminta menunggu bagi proses berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang curiga kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, semalam.

Justeru, Zulkipli menasihati orang ramai agar tidak panik selepas menerima panggilan telefon dari mana-mana pihak berkuasa dan hendaklah membuat pertanyaan atau semakan terlebih dahulu di jabatan berkenaan bagi mengelak ditipu.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559/03-26101599 atau memuat naik aplikasi semak mule http://semakmule.rmp.gov.my atau ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here