Taufan Chaba: Kapal terbelah dua, puluhan kru hilang

0
256

SERAMAI 27 kru hilang dan dikhuatiri lemas selepas kapal dinaiki mereka terputus dua akibat dibadai ribut tropika Chaba yang melintasi Hong Kong dan selatan China, pada Ahad.

Pihak berkuasa berkata, peluang untuk menemui 27 kru kapal itu dalam keadaan selamat adalah sangat tipis tetapi operasi pencarian mangsa masih diteruskan.

Tiga daripada 30 kru kapal itu berjaya diselamatkan ketika angin kencang serta hujan membadai pantai dan perairan yang terletak kira-kira 300 kilometer barat daya daripada bandar itu, lapor Astro AWANI.

Lokasi kejadian itu dikelilingi oleh kira-kira 100 turbin angin yang ditambah dengan tiupan mencecah sehingga 140 kilometer sejam, telah menghalang usaha menyelamat.

Hong Kong telah menghantar sembilan pesawat untuk bersama-sama menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan pasukan dari tanah besar.

Beberapa anak kapal berkemungkinan telah meninggalkan kapal itu kerana ia terputus dua.

Ribut tropika Chaba menyusuri Hong Kong dengan membawa hujan lebat dan angin kencang pada Jumaat dan Sabtu lalu dan telah menyebabkan pengangkutan awam terpaksa dihentikan sementara dan banyak perniagaan ditutup.

Pihak berkuasa di Hong Kong menaikkan amaran taufan pada Khamis sebaik Presiden China, Xi Jinping tiba di bandar itu untuk memperingati ulang tahun ke-25 penyerahannya dari Britain kepada China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here