Penganggur dituduh bunuh wanita baru dikenali

0
262

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang baru dikenalinya melalui aplikasi sembang di media sosial, 1 Jun lalu.

Muhamad Safuan Ridzuan, 32, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita berusia 35 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 6 Jalan Kota Tinggi-Kluang berdekatan Kampung Lipat Kajang di Kota Tinggi pukul 10 malam pada 1 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah ( IPD) Kota Tinggi, pukul 1.25 petang, pada 23 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, kimia dan patologi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here