Kes Syed Saddiq: ‘Biarkan bukti yang berbicara’ – hakim

0
359

PESURUHJAYA Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid, yang mendengar perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengeluarkan peringatan kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.

Terdahulu sebaik saja prosiding perbicaraan bermula, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu mahkamah, bahawa satu laporan polis sudah dibuat ke atas peguam, Lim Wei Jit, selepas beliau mendedahkan pembelaan tertuduh ketika sidang media pada 21 Jun lalu.

Beliau kemudian memohon mahkamah untuk memberi teguran supaya perkara itu tidak berlaku lagi.

“Saya tidak minta prosiding menghina mahkamah dikenakan…namun mohon mahkamah supaya memberi teguran kerana kita sudah dewasa,” katanya, lapor BH Online.

Mendengar permohonan itu, mahkamah kemudian membuat teguran kepada semua pihak yang hadir.

“Saya rasa perkara seperti ini sudah berlaku di mahkamah lain dan kali ini di mahkamah saya.

“Saya ingatkan semua orang…biarkan bukti yang berbicara,” katanya.

Peguam Haijan Omar, yang mewakili Syed Saddiq, kemudian memohon maaf atas keterlanjuran yang berlaku dan memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang.

Pada 24 Jun lalu, laporan polis itu dibuat seorang pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan satu video yang dimuat naik di YouTube mendakwa, pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bermotifkan politik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here