Mahkamah tangguh perbicaraan kes perceraian MB Perlis pada 25 Ogos

0
971

MAHKAMAH Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini, menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man terhadap isterinya, Sova Ali.

Hakim Syarie, Abdullah Zuhdee Ab. Halim menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Nurul Atikah Abd. Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan membuat permohonan memberitahu bahawa anak guamnya tidak hadir kerana mempunyai urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Dalam prosiding itu, Sova selaku plaintif hadir dengan memakai jubah hitam dan diwakili peguam Muhammad Syafiq Ibrahim manakala Menteri Besar Perlis itu tidak hadir dan hanya mewakilkan Nurul Atikah.

Dalam prosiding itu, Muhammad Syafiq memberitahu mahkamah yang pihaknya sudah cuba membuat serahan surat saman sebelum ini tetapi tidak berjaya dan turut gagal menghubungi defendan.

Bagaimanapun, salinan saman itu dapat diserahkan kepada peguam syarie defendan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong pada hari ini, lapor Harian Metro.

“Hari ini adalah sebutan kali pertama untuk defendan menjawab permohonan pengesahan lafaz cerai.

“Saya difahamkan defendan tidak hadir kerana ada urusan kerja namun peguam beliau ada.

“Prosiding ini tidak dibuat di Perlis kerana permohonan difailkan oleh Sova (anak guam) yang menetap di sini.

“Serahan saman kepada defendan dibuat sejurus permohonan difailkan bulan lalu dan kita memfailkan pengesahan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, pada lalu,” katanya ketika ditemui di lobi mahkamah.

Sementara itu, Nurul Atikah dalam prosiding memberitahu hakim, anak guamnya sudah menerima salinan surat saman sebelum ini tetapi melalui pembantu.

Menurut Nurul Atikah, pihaknya maklum mengenai perkara itu selepas defendan melantiknya sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 1 Julai lalu menerusi panggilan video.

Dalam prosiding sama, Nurul Atikah turut memohon perbicaraan akan datang diadakan secara tertutup kerana status anak guamnya sebagai Menteri Besar Perlis dan bimbang berlaku salah faham masyarakat terhadap reputasinya.

Bagaimanapun, Abdullah Zuhdee memberitahu keputusan mengenai permohonan itu akan dimaklumkan kelak sebelum perbicaraan.

“Anak guam saya tiada masalah dalam kes pengesahan lafaz cerai ini cuma tidak hadir kerana ada urusan kerja dan menerima pemberitahuan pada saat akhir.

“Ada beberapa isu perlu dijawab dan atas sebab itu saya memohon perbicaraan tertutup namun terpulang kepada budi bicara hakim,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah Zuhdee dalam prosiding itu memberitahu mahkamah tidak dapat merekodkan keterangan dan persetujuan hari ini kerana defendan tidak hadir.

“Mahkamah tidak dapat ambil kenyataan lisan sama ada defendan bersetuju atau tidak dengan kenyataan plaintif.

“Kena dengar kedua-dua pihak jadi prosiding ditangguhkan ke tarikh akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here