[VIDEO] Najib, Zahid, Anwar dicabar bersumpah nafi pendedahan Tajuddin

0
803

DATUK Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar bersumpah menafikan pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, ketiga-tiga pemimpin berkenaan yang diketahui gemar bersumpah wajar berbuat demikian bagi membuktikan pendedahan Tajuddin satu fitnah.

“Apa yang dinyatakan oleh Tajuddin sepatutnya diulas oleh Anwar Ibrahim, Najib Razak dan Ahmad Zahid. Di sini saya boleh cabar beliau untuk bersumpah, sebab dia suka sangat bersumpah. 

“Najib Razak berapa kali bersumpah, Ahmad Zahid pun cabar Tan Sri Muhyiddin Yassin bersumpah, sekarang kita minta dia bersumpah mengatakan bahawa dia difitnah oleh Tajuddin. 

“Tak payah nak cerita banyak, sebab dia suka bersumpah, kita cabar dia bersumpah, yang Tajuddin fitnah,” katanya dalam wawancara khas bersama SatuBerita pada Rabu.

Pada Isnin, Tajuddin mendakwa beliau adalah salah seorang yang diminta menandatangani Akuan Bersumpah (SD) kerjasama Presiden UMNO, Ahmad Zahid dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, walaupun hal tersebut telah banyak dinafikan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu dan rakan pimpinannya dalam UMNO termasuk ketika perhimpunan agung parti berkenaan.

Razali berkata, ketiga-tiga pemimpin itu perlu bermuhasabah diri serta tumpu kepada rakyat yang masih lagi dalam peralihan untuk mensejahterakan kembali ekonomi negara yang mengalami kejatuhan akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu katanya, ketidakstabilan negara tidak datang daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin, namun yang terlibat dalam kemelut itu adalah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Tambah beliau, rakyat perlu lihat dan menolak pemimpin yang tidak bertanggungjawab serta menganggu kestabilan politik negara.

“Biarlah mereka selesai, biar rakyat tengok yang SD menyokong Anwar Ibrahim semasa kerajaan PN sedang bergerak. Itu stabil atau tidak stabil? 

“Saya tidak kata UMNO secara keseluruhan, saya fokus kepada tiga orang, Najib Razak, Ahmad Zahid, Anwar Ibrahim, dia yang mengatakan kita pengkhianat, nak bekerjasama sana sini, sebenarnya dia senyap senyap buat kerja, senang senang dia boleh menipu rakyat, bersumpah sana, bersumpah sini.

“Rakyat kena faham, perkara itu sedang berlaku, bercakap untuk menstabilkan negara, tetapi keluarga dia sendiri tidak stabil. Bercakap telus dan integriti, tetapi dia juga yang menghuru-harakan negara,” tegasnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here