KBS hormati keputusan Zii Jia walaupun kecewa

0
249

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kecewa dengan pengunduran Lee Zii Jia daripada beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun beliau akur dan menghormati keputusan pemain badminton perseorangan profesional negara itu.

“Keputusan berat ini terpaksa diambil Zii Jia berikutan perlu mengharungi jadual padat bagi Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.

“Seperti orang ramai, saya juga berasa kecewa dengan pengunduran Lee Zii Jia daripada mengambil bahagian mewakili Malaysia di Sukan Komanwel.

“Saya dah dapat bercakap dengan Zii Jia sendiri dan beliau memohon maaf dan sebenarnya beliau bersungguh-sungguh hendak mewakili Malaysia di Sukan Komanwel tetapi keadaan jadual dan acara beliau yang begitu padat menyebabkan terpaksa mengambil keputusan berat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Temasya Sukan SMK RPS di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan, di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, Zii Jia turut meluahkan rasa kesal kerana ini adalah peluang untuk beraksi di Sukan Komanwel dan juga peluang membawa pulang pingat emas untuk negara.

“Jadi, beliau sebenarnya berasa begitu kesal tidak dapat mewakili Malaysia,” katanya.

Namun beliau berpendapat semua atlet seharusnya meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya.

“Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh Lee Zii Jia, kita berharap yang terbaik untuk beliau,” katanya, lapor Berita Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tetap meletakkan keyakinan tinggi kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.

“Saya juga meletakkan keyakinan yang tinggi kepada perseorangan ketiga kita yang masih mampu memberi saingan yang hebat.

“Ini peluang kepada beliau untuk keluar daripada ‘comfort zone’ dan Sukan Komanwel ini akan menyerlahkan bakat yang ada pada perseorangan ketiga kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here