Pesara swasta didakwa gubah wang haram hampir RM1.7 juta

0
269

SEORANG pesara swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada Khamis atas 12 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta.

Bagi semua pertuduhan, K.Suranderan, 60, didakwa melupuskan wang RM1,685,543.27 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke akaun beberapa bank milik empat syarikat, tiga individu serta tertuduh sendiri, termasuk akaun kad kredit antara RM11,398 dan RM516,480, memetik laporan Bernama.

Suranderan didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di OCBC Bank (Malaysia) Bhd, cawangan Klang antara 14 Nov 2019 dan 29 Mac 2021.

Pertuduhan dikemukakan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous manakala tertuduh dikendalikan peguam K.Renuka dan V.Ayasamy.

Hakim Helena Sulaiman menetapkan wang jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri setiap sebulan sekali di balai polis terdekat serta 19 Ogos untuk sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here