‘Kamu jangan masuk campur lagi’, kata Najib kepada Husni

0
217

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dalam hal ehwal syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, beliau menyatakan demikian kerana apabila menyuarakan kebimbangan mengenai penubuhan 1MDB, Najib hanya menjawab, beliau akan meneruskan (dengan penubuhan syarikat pelaburan itu), lapor Harian Metro.

Ahmad Husni yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan semula, berkata Najib juga memintanya supaya tidak masuk campur ketika beliau membangkitkan kerisauan mengenai pelaburan usaha sama 1MDB dan syarikat perkhidmatan serta pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd (PSI).

“Pada pertemuan penghujung tahun 2009 itu, saya menyatakan kepadanya supaya tidak meneruskan dengan usaha sama itu kerana syarikat ini masih dalam proses mencari telaga minyak.

“Saya juga menyatakan bahawa 1MDB tiada pengalaman dalam bidang itu dan sepatutnya ia diserahkan kepada syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tetapi beliau kata ‘kamu jangan masuk campur lagi’.

“Ini menunjukkan beliau (Najib) ada kuasa untuk membuat keputusan kerana tidak ada sebarang perbincangan,” katanya.

Dalam keterangan sebelum ini, Ahmad Husni memberitahu mahkamah, dalam pertemuan di pejabat Najib, bekas Perdana Menteri itu memberitahunya supaya tidak membabitkan diri dan masuk campur dalam (urusan) 1MDB.

Katanya, apabila kerajaan memutuskan mengambil alih 1MDB daripada Kerajaan Negeri Terengganu melalui syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), beliau bertemu Najib untuk memberitahunya bahawa 1MDB tidak sepatutnya ditubuhkan tanpa ‘feasibility study’ (kajian kebolehlaksanaan).

Ahmad Husni berkata, kajian itu adalah untuk membuat penilaian secara praktikal bagi cadangan sesuatu projek dan risiko dari segi perniagaan serta kewangan yang mana ia sangat penting bagi memastikan pelaburan syarikat menguntungkan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, Najib berkata beliau akan teruskan (dengan penubuhan 1MDB).

Sementara itu Ahmad Husni berkata, beliau tidak ada sebarang keraguan bahawa surat peribadinya kepada Najib yang dihantar melalui Setiausaha Sulit, Allahyarham Datuk Azlin Alias tidak akan sampai kepada bekas Perdana Menteri itu.

Surat itu dihantar Ahmad Husni pada 23 Ogos 2010 melalui bagi menyuarakan kebimbangannya mengenai urusan 1MDB yang boleh menjejaskan kerajaan dan Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here