[VIDEO] Belia tunjang pemulihan negara – Muhyiddin

0
535

BERTEPATAN dengan komitmen Malaysia dalam aspek pembangunan modal insan, belia memainkan peranan penting ke arah memacu pembangunan negara yang mampan dan inklusif pasca pandemik.

Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak perlu menggembleng usaha dan tenaga untuk mengilap potensi dan meningkatkan daya upaya para belia.

“Menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, pembangunan Model Baharu Pembangunan Belia yang holistik sudah pasti dapat menepati aspirasi belia dalam melahirkan pemimpin yang berdaya saing dan kalis cabaran masa depan di peringkat global.

“Antara cabaran utama belia masa kini adalah perubahan kehendak pasaran yang semakin dinamik di seluruh dunia, khususnya dari segi pemadanan kemahiran. 

“Dalam hal ini, para belia perlu dilengkapi dengan kemahiran berasaskan teknologi digital melalui penyesuaian norma baharu dalam mendepani Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya ketika berucap di majlis #RuangBelia anjuran MASA di Sime Darby Convention Centre (SDCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Turut hadir ialah Menteri Kanan Pendidikan; Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Belia dan Sukan; Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara; Senator Wan Ahmad Fayhsal.

Program tersebut bertujuan untuk mendengar aspirasi dan hasrat warga muda ke arah memperkukuh pemulihan ekonomi negara.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, sebagai kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN), MPN akan terus mengadakan siri libat urus untuk mengumpul pandangan dan input daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia.

“Semua ini akan dilakukan ke arah pelaksanaan PPN 2.0 yang sedang dirangka.

“Melalui platform seperti ini #RuangBelia, saya berharap saudari saudari sekalian dapat bersama-sama merungkai isu semasa, serta memberi pandangan konstruktif yang boleh menyumbang kepada usaha pemulihan negara secara menyeluruh,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu juga memberi pengiktirafan kepada anak muda yang berjaya melakar sejarah di persada antarabangsa.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian anak muda seperti Cikgu Khalifa Affnan yang dinobatkan sebagai pemenang global Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.

“Saudara Zarif, Danish, Qarin dan Edlan atas kejayaan memasuki Akademi Tentera Amerika Syarikat dan saudari Florence Tan yang menempa nama apabila terpilih untuk menyertai Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA)”

Suara dan pandangan generasi muda di peringkat akar umbi perlu terus didengari dan diberi perhatian oleh Kerajaan agar mereka dapat terus menyumbang ke arah perancangan dasar kerajaan dan pembangunan negara. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here