Muhyiddin harap PM segera putuskan pengganti Zuraida

0
235

TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keutamaan untuk mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan isu membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang kini tidak lagi bersama parti tersebut.

Presiden Bersatu itu berkata, ia perlu memandangkan kuota kerusi berkenaan adalah milik Bersatu seperti mana yang telah termaktub dalam perjanjian sebelum ini.

“Saya sedang menunggu tarikh untuk bertemu Perdana Menteri. Saya minta Perdana Menteri beri keutamaan kerana daripada tarikh pengumuman yang dibuat oleh Datuk Zuraida saya fikir sudah melangkau lebih dua minggu.

“Ini satu tempoh agak terlalu panjang untuk saya tunggu. Di pihak Bersatu kita dah nyatakan pandangan kita dan pendirian kita. Sewajarnya perkara itu diputuskan segera,” jelasnya pada sidang media selepas Majlis #RuangBelia anjuran Institut Masa Depan Malaysia di Sime Darby Convention Centre (SDCC), Kuala Lumpur, pada Selasa.

Tambahnya lagi, beliau juga tidak mahu mencampuri permintaan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang mahukan Perdana Menteri mengekalkan Zuraida dalam Kabinet.

Namun beliau mengingatkan bahawa permintaan Bersatu terhadap jawatan tersebut sebagai sebahagian perjanjian antara Perdana Menteri dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

“Kita cuma tuntut yang itu sahaja, bukanlah luar biasa. Jadi saya mohon pertimbangan Perdana Menteri segeralah. Saya dah minta nak jumpa, ini dekat dua minggu,” katanya lagi.

Sebelum ini Zuraida mengakui masih berharap untuk kekal sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi perjumpaannya dengan Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here