Pekebun sayur fertigasi terbeban harga baja kimia naik 120 peratus

0
682

KIRA-kira 400 pekebun sayur fertigasi di Cameron Highlands dekat sini cukup terbeban ekoran kenaikan harga baja kimia yang ketika ini mencecah hingga 120 peratus.

Situasi kenaikan baja kimia itu berlarutan selama dua tahun, sekali gus menyebabkan sayur seperti tomato, lada benggala, terung, tomato ceri, timun Jepun, strawberi dan cili berkurangan sehingga 35 peratus.

Memetik laporan Utusan Malaysia, pekebun sayur fertigasi Cameron Highlands, Lau Weong Soow berkata, kenaikan 100 hingga 120 peratus itu membabitkan enam baja kimia fertigasi.

Menurutnya, enam baja kimia tersebut adalah daripada jenis calcium nitrate, potasium nitrat, magnesium sulphate, monopotasium fosfat, potassium sulfat dan juga ammonium nitrat.

“Kenaikan antara RM3,700 ke RM12,000 satu metrik tan. Sebagai contoh, calcium nitrate sebelum ini RM1,500, kini dijual pada harga RM3,700 satu tan metrik.

“Paling tinggi mencatatkan kenaikan monopotassium fosfat, sebelum ini RM5,000, naik 120 peratus kepada RM12,000 satu tan metrik.

“Kos input terlalu tinggi, apa nasib kami peniaga sayur fertigasi, hendak jual sayur mahal? Harga sayur tetap perlu ikut pasaran semasa dan juga permintaan,” katanya.

Weong Soow berkata, permasalahan tersebut telah pun diadukan kepada pihak berkaitan iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Pertanian, namun seolah-olah dipandang sepi.

“Apa kita harapkan pihak berkenaan mencari penyelesaian tentang kenaikan mendadak baja kimia tersebut, sekurang-kurangnya kawal harga supaya ia tidak terlalu tinggi dan membebankan.

“Sama ada diberikan peruntukan khas, bantuan, itu terpulang. Tetapi kita perlu penyelesaian supaya isu kenaikan baja kimia fertigasi ini tidak terus membebankan pekebun sayur fertigasi di Cameron Highlands,” katanya.

Setiausaha Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong pula berkata, kenaikan harga baja itu cukup membebankan golongan pekebun kerana input bagi menghasilkan projek pertanian seperti sayur-sayuran lebih mahal daripada produk dikeluarkan.

“Ramai petani merungut ekoran kenaikan baja kimia terbabit. Ada menyatakan, jika tidak tahan mereka tidak tanam sayur lagi kerana kosnya terlalu tinggi sebaliknya menukar kepada pertanian yang melibatkan jangka masa panjang seperti kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan utama ketika ini adalah bekalan sayur menggunakan sistem fertigasi akan terjejas sekali gus berkurangan dalam pasaran negara.

Ini kerana katanya, bukan sahaja harga baja kimia fertigasi terlalu mahal, malah rantaian bekalannya juga semakin berkurangan ekoran sekatan di negara asal seperti China dan juga Russia.

“Jadi pekebun bimbang dan tidak pasti sama ada bekalan baja ini ada kekal atau terus berkurangan, jadi bertindak mengurangkan tanaman sayur fertigasi.

“Jadi saya nampak, dalam masa dua ke tiga bulan akan datang, bekalan sayur fertigasi akan terjejas, petani bimbang untuk tanam banyak sayur seperti tomato, lada benggala, terung, tomato ceri, timun Jepun dan cili,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here