[VIDEO] Tidak salah Muhyiddin nafi terima wang kerana tertuduh adalah Zahid

0
495

TINDAKAN bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat penafian menerima wang RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) tidak melanggar perjalanan perbicaraan.

Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ini kerana yang dituduh dalam kes itu adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukannya Muhyiddin.

“Muhyiddin berhak menjawab dakwaan itu dan ia tidak melanggar perjalanan perbicaraan kerana dituduh bukanlah beliau sebaliknya Zahid,” katanya menurut laporan Utusan hari ini.

17 Jun lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menafikan menerima wang tunai RM1.3 juta daripada UKSB dan menyifatkan keterangan saksi pendakwaan bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dalam kes rasuah Presiden UMNO itu sebagai pernyataan palsu.

Muhyiddin menjelaskan pada masa itu beliau menjalani pembedahan kanser dan mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

“Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri (ketika itu) Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendapat liputan meluas media massa,” katanya.

“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

David Tan mendakwa lima lagi ahli politik yang menerima dana daripada UKSB ialah Khairy Jamaluddin; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Semalam, Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah dalam satu kenyataan turut menafikan menerima wang daripada UKSB dan memaklumkan beliau bersedia untuk tampil membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

“Sebagai Menteri Luar ketika itu, saya bertemu dengan ramai orang. Seingat saya, saya tidak pernah berjumpa dengan David Tan mahupun menerima sebarang wang daripadanya atau UKSB.

“Saya tidak tahu siapa mereka dan saya tidak mempunyai sebarang urusan dengan mereka dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Susulan, kenyataan David Tan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap individu yang nama mereka disebut itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff berkata SPRM perlu bertanggungjawab kerana gagal melakukan siasatan menyeluruh ekoran pendedahan nama individu berkenaan.

“Buku lejar itu merupakan barang kes berkenaan dan jelas menunjukkan kelemahan SPRM untuk melakukan siasatan dengan sempurna.

“Maka isunya adalah mengapakah SPRM pada masa itu tidak siasat semua nama yang terdapat dalam dokumen itu lebih awal sebelum kes dibawa ke mahkamah? Benda ini bukan boleh dibuat main-main kerana ini membabitkan soal undang-undang, apatah lagi kes rasuah.

“Jadi adakah SPRM akan siasat SPRM sendiri bahawa nama-nama dalam buku lejar itu tidak dipanggil lebih awal yang sepatutnya memberi keterangan. Jadi SPRM perlu jawab dan dipersoalkan atas kelemahan ini,” katanya.

Zahid, 69, kini berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here