Shabudin tidak tanding PRU-15, buka laluan orang muda

0
303

AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya, tidak berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, berkata keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa membabitkan isu perebutan kerusi atau seumpamanya.

“Saya sudah empat penggal, orang kata just nice (sedang elok) untuk beri laluan kepada pucuk muda. Orang muda lebih energetik dan keputusan ini juga boleh memberi orang muda lebih peluang dalam politik.

“Jadi saya bercadang untuk bersara daripada jawatan-jawatan, namun masih bergiat (dalam politik) tetapi tidak mahu jadi wakil rakyat lagi dan sudah tentu saya akan membantu calon-calon dari parti saya (BERSATU) yang bakal bertanding kelak,” katanya.


Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Ikhtiar Malaysia, ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-9 dan Pengundian Pemilihan Anggota Lembaga Koperasi 2022 di sini hari ini.

Shabudin pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan sebagai wakil rakyat UMNO selama dua penggal bermula 2004 hingga 2008, sebelum bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor atas tiket UMNO pada PRU-13 dan PRU-14.

Bekas Hakim Mahkamah Syariah berusia 57 tahun itu, mengumumkan keluar daripada UMNO pada 14 Disember 2018 dan menjadi wakil rakyat bebas selama setahun sebelum menyertai BERSATU pada 2019.

Dalam pada itu, mengulas mengenai situasi Parlimen Tasek Gelugor yang disifatkan sebagai ‘kerusi panas’ beliau berpendapat individu yang bercadang bertanding di Tasek Gelugor, cenderung menganggap ia merupakan kawasan selamat.

Namun, menurutnya, status selamat atau tidak sesuatu kawasan itu boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada prestasi sesebuah parti.

“Jadi selama ini prestasi kita okey, jadi nampaknya macam orang akan setuju tetapi dengan pola politik sekarang belum tentu.

“Pola sekarang bergantung pada bentuk penyatuan parti yang akan berlaku. Kalau penyatuan parti-parti tertentu ini tidak kukuh dan tidak kuat belum tentu parti berkenaan boleh menang,” katanya, lapor BH Online.

Shabudin berkata, faktor calon memainkan peranan penting kerana dalam aspek demografi, kebanyakan masyarakat di Tasek Gelugor merupakan penduduk asal yang telah lama menetap di situ dan tahu apa yang dimahukan daripada wakil rakyat mereka.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan kawasan bandar besar yang penduduknya datang dan pergi bersilih ganti selain ramai dalam kalangan mereka berkemungkinan besar tidak mengenali atau berminat mengambil tahu siapa pemimpin perwakilan parti di kawasan masing-masing.

“Jadi misalnya jika media sosial memainkan peranan berkesan dalam kempen satu-satu pihak, mungkin pihak berkenaan boleh menang.

“Tapi di Tasek Gelugor, kita boleh kata 80 peratus pengundi adalah penduduk asal dan sudah tentu mereka lebih suka pada calon yang dikenali, calon yang ada hubungan saudara mara dan perkara sedemikian akan mempengaruhi kemenangan,” katanya.

Beliau berkata, dalam landskap politik tidak menentu sesiapa sahaja berpeluang untuk memenangi kerusi parlimen berkenaan bergantung kepada strategi kempen dan isu yang dibangkitkan sekali gus menegaskan pengundi Tasek Gelugor tidak boleh dibeli dengan wang.

“Kalau ramai sangat yang berminat bertanding di Tasek Gelugor, mereka perlu melihat faktor sebegini bukan kerana hanya ada duit (terus) terjun atau kata hendak berbakti, walhal orang belum kenal dia lagi.

“Kita pernah berpengalaman dengan beberapa PRU yang mana ada calon bidan terjun tapi dia (bertahan) sekejap saja, itu pun ketika parti) tengah kuat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here